Cristiano Ronaldo berkata dia merindui Manchester United selepas menyatakan kekecewaannya akibat diejek penyokong Real Madrid.

Jaringan 40 gol Ronaldo dalam semua pertandingan membantu Real meraih gelaran LaLiga pertama mereka sejak 2012 di samping gergasi Eropah itu kini dalam misi mempertahkan mahkota Liga Juara-Juara.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Real itu, bagaimanapun, masih lagi menjadi sasaran oleh penyokong di Santiago Bernabeu pada musim ini.

Dan pemenang empat kali Ballon d'Or itu bosan dengan layanan peminat sendiri apabila bercakap tentang United -- bekas kelab di mana dia menghabiskan enam tahun sebelum menyertai Real pada 2009 -- walaupun tidak mempunyai rancangan meninggalkan ibu negara Sepanyol itu.

"Saya tidak suka dan ia tidak normal apabila mereka mengejek anda dalam stadium anda sendiri. Saya tidak suka," kata pemain berusia 32 tahun itu kepada La Sexta sebelum final Liga Juara-Juara menentang Juventus di Cardiff, Ahad ini.

"Ia tidak sepatutnya berlaku kepada pemain yang sentiasa mahu memberikan yang terbaik dan memberikan 100 peratus untuk pasukan. Apabila dia membuat kesilapan pertama, orang ejek.

"Ia tidak betul. Dan apabila anda berada dalam tempoh sukar, anda memerlukan sokongan tambahan dari luar. Kadang-kadang kita tidak mempunyainya.

"Saya menghabiskan banyak tahun di Manchester United dan ia tidak pernah berlaku kepada saya di sana. Tidak walaupun sekali. Mungkin England lain -- mentaliti berbeza.

"Saya amat gembira berada di Sepanyol tetapi jelas saya juga rindukan England kerana anda tidak boleh menghapuskan kenangan."

Ronaldo mempunyai kontrak sehingga 2021 tetapi kapten Portugal itu merancang untuk terus bermain sehingga mencapai usia sekurang-kurangnya 40.

Dia menambah: "Saya kata apabila saya menandatangani kontrak terbaru, ia akan menjadi kontrak kedua terakhir saya dan saya akan bermain sehingga saya 41."