Skip to main content

Bola Sepak

Ronaldo harap Tite kekal sebagai ketua jurulatih Brazil

tite.jpg
Legenda Brazil, Ronaldo, berharap Tite akan kekal mengendalikan skuad kebangsaan di sebalik tersingkir dalam pusingan suku akhir Piala Dunia.

Belgium mengatasi juara dunia lima kali itu 2-1 di Kazan, awal pagi tadi, hasil jaringan sendiri Fernandinho dan rembatan Kevin De Bruyne sementara Renato Augusto menjaringkan gol sagu hati buat Selecao.

Brazil merupakan pasukan pilihan dalam perlawanan ini tetapi Neymar gagal menampilkan aksi cemerlang gara-gara tidak menemui jalan menembusi Belgium.

Skuad kendalian Tite itu tewas sekali dalam aksi kelayakan tetapi masa depan jurulatih itu menjadi tanda tanya selepas kegagalan Brazil dalam Piala Dunia kali ini.

Ronaldo, bagaimanapun, berharap Tite akan mendapat peluang untuk kekal mengendalikan pasukan walaupun gagal membawa Brazil ke separuh akhir di Russia 2018.

"Ia merupakan keadaan yang merumitkan untuk Selecao, secara politik dan teknikal," kata Ronaldo.

"Kami tewas dalam separuh akhir di Brazil dan kali ini suku akhir, kami tidak dimalukan. Tetapi kami sentiasa mengharapkan lebih daripada Selecao."

"Saya percaya Tite perlu kekal dalam pasukan. Beliau telah melakukan tugas dengan baik dan perlu kekal bersama pasukan."

Advertisement

Must Watch Video