Skip to main content

Bola Sepak

Roma capai persetujuan batal kontrak Pastore

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

javierpastore.jpg
Javier Pastore meninggalkan AS Roma selepas kontraknya dibatalkan secara persetujuan bersama.

Pemain tengah Argentina itu dibelenggu kecederaan sejak menyertai kelab Serie A berkenaan daripada Paris Saint-Germain (PSG) dengan perpindahan bernilai €24.7 juta (RM121.2 juta) pada Jun 2018.

Pastore menjalani pembedahan tulang pinggul kiri pada 12 bulan lalu dan hanya dapat beraksi sebanyak lima kali buat Giallorossi sepanjang musim lalu.

Pemain perancang berusia 32 tahun itu melakukan 37 penampilan sepanjang bersama kelab itu dan kini bebas mencari kelab baru untuk diwakilinya.
 
Dia berkata dalam satu kiriman Instagram: "Bukan mudah untuk saya meninggalkan kelab ini, bandar ini dan penyokong ini dengan menyedari saya tidak dapat memenuhi harapan yang mereka letakkan ke atas saya.

"Semua yang mengenali saya pasti tahu betapa saya telah menderita dan memberikan komitmen yang telah saya usahakan untuk mengubah nasib saya.

"Kisah kita tidaklah bertuah tetapi saya mengucapkan selamat tinggal dengan perasaan yang dipenuhi rasa hormat dan berterima kasih kepada bandar ini, kepada semua yang mengalu-alukan kedatangan saya dengan penuh rasa kasih dan keghairahan mereka.

"Saya harap anda semua akan menikmati kejayaan yang hebat tidak lama lagi. Roma dan penyokong mereka layak memilikinya," katanya.

Roma memenangi kedua-dua perlawanan Serie A pertama musim ini di bawah kendalian ketua jurulatih baru, Jose Mourinho, dengan yang terbaru membelasah Salernitana 4-0 hujung minggu lalu.
 

Advertisement

Must Watch Video