Marco Reus dan Mario Gotze menemui sentuhan pemusnah untuk membantu Borussia Dortmund meraih kemenangan 6-1 dalam aksi persahabatan berdepan kelab divisyen ketiga, Paderborn, awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Thomas Tuchel itu mengharungi perlawanan ujian pertengahan musim ini dengan rekod cemerlang selepas mencipta kemenangan selesa ke atas PSV Eindhoven dan Standard Liege sebelum menyambung kempen Bundesliga mereka bertemu Werder Bremen, Sabtu ini.
Bagaimanapun, kemenangan Dortmund itu sedikit terjejas ekoran kecederaan yang menimpa Sven Bender sehingga terpaksa diusung keluar pada minit ke-19 akibat masalah pergelangan kaki ekoran terjahan keras Sven Michel.
Dortmund membuka tirai gol perlawanan pada pertengahan saingan separuh masa pertama apabila Gotze membuat umpanan kepada Gonzalo Castro.
Paderborn menyamakan kedudukan enam minit kemudian susulan tandukan lemah Lukasz Piszczek memberi ruang kepada Thomas Bertels untuk menghukum pemain pertahanan itu.
Reus, bagaimanapun, kembali meletakkan Dortmund di hadapan sebelum Gotze melebarkan kedudukan 3-1 selepas sejam permainan berlangsung.
Di sebalik kedudukan selesa itu, tidak ada tanda-tanda bahawa Dortmund akan mengendurkan asakan mereka yang menyaksikan Andre Schurrle menyempurnakan dua sepakan penalti dan usaha Raphael Guerreiro pada 15 minit terakhir perlawanan menyaksikan Dortmund meraih kemenangan besar.