Skip to main content

Bola Sepak

Rekod tanpa kalah Negeri Sembilan lebur

kl-v-n9.jpg
Perebutan kejuaraan Liga Perdana semakin hangat dengan Kuala Lumpur merampas status pendahulu setelah menewaskan Negeri Sembilan 3-2 di Stadium Selayang, malam ini.

Ini merupakan kekalahan pertama skuad kendalian Asri Ninggal itu musim ini selepas 15 perlawanan.

Skuad Jang dikejutkan seawal minit ke-10 menerusi jaringan Guilherme De Paula.

Bekas penyerang Selangor dan PDRM itu melepaskan tandukan ke gawang Kaharuddin Rahman hasil sepakan percuma pemain import Argentina, Nicolas Dul.

Ia merupakan gol ke-17 buat penyerang Brazil itu, musim ini.

Kuala Lumpur hampir menambah jaringan menerusi Zaiful Abdul Hakim dan Paulo Josue, namun kecekapan Kaharuddin memastikan babak pertama berakhir dengan kedudukan 1-0.

Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan gagal menterjemahkan sebarang jaringan sehinggalah memasuki minit ke-78 apabila Josue meledak gol kedua Kuala Lumpur setelah menerima hantaran 'backheel' De Paula.

Tiga minit berselang, Josue memastikan The City Boys berada dalam keadaan selesa dengan gol ketiga.

Ketinggalan tiga gol, anak buah Mohd Asri cuba bangkit dan hasilnya berjaya merapatkan jurang dengan gol Bruno Castanheira (m-84) dan Farderin Kadir (m-90), namun sudah terlewat untuk merencanakan gol penyamaan.

Ini merupakan kemenangan ketujuh berturut-turut dicatat Kuala Lumpur, sekaligus merampas status pendahulu dengan berkongsi 32 mata bersama-sama Negeri Sembilan, namun dipisahkan dengan kelebihan gol.

Keputusan lain:

ATM 0-2 Terengganu

Johor Darul Ta'zim II 1-0 PDRM

UiTM FC 3-3 MISC-MIFA

Sabah 1-3 PKNP FC

Perlus 3-1 Kuantan FA

 

Advertisement

Must Watch Video