LIGA SUPER MSIA
Reformasi bola sepak Malaysia: Krisis, Harapan dan jalan ke hadapan bersama
Liga-liga utama Eropah seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), Bundesliga, La Liga, Ligue 1 dan Serie A telah lama menunjukkan kejayaan dalam aspek pengurusan, pembangunan bakat, penjanaan pendapatan dan penyertaan komuniti.
Malaysia yang kini menyaksikan kemerosotan pasukan negeri dalam Liga Malaysia perlu belajar daripada model Eropah ini bagi merombak semula sistem bola sepak yang kian meruncing akibat ketidakstabilan kewangan, pengaruh politik, dan kegagalan membina ekosistem yang mapan.
Model EPL menunjukkan bagaimana sebuah liga boleh beroperasi secara bebas daripada pengaruh kerajaan melalui entiti korporat yang profesional seperti Premier League Ltd. Liga ini dimiliki bersama oleh kelab-kelab tetapi diurus secara berpusat dengan sistem pelesenan ketat, had kewangan, dan hak siaran yang diagih sama rata.
Iklan
Malaysia perlu menubuhkan sebuah badan profesional bebas bagi mengurus liga secara telus tanpa pengaruh politik, dan memberikan kelab kebebasan berniaga serta mengurus diri secara autonomi.
Bundesliga Jerman pula terkenal dengan sistem ‘50+1’ yang memberi kuasa majoriti kepada penyokong dan komuniti dalam pemilikan kelab. Ini mewujudkan rasa tanggungjawab bersama dan mengekalkan akar umbi kelab dengan masyarakat setempat.
Bundesliga terkenal dengan harga tiket yang murah, suasana stadium yang meriah, dan penyokong yang setia, hasil dari hubungan rapat antara kelab dan komuniti. Malaysia boleh mencontohi pendekatan ini dengan mewujudkan sistem langganan komuniti atau pemilikan bersama antara penyokong dan pelabur untuk memastikan kelab sentiasa relevan, telus dan mendapat sokongan berterusan.
Sepanyol melalui La Liga menekankan kawalan kewangan (financial fair play) yang sangat ketat, serta penstrukturan semula hak siaran secara kolektif. Semua kelab, besar atau kecil, mendapat peratusan hasil siaran yang jelas dan telus. MFL boleh memperbaiki pengagihan hak siaran di Malaysia dengan formula yang lebih adil, agar kelab dari negeri kecil juga mampu bersaing secara kompetitif tanpa bergantung kepada kerajaan negeri sepenuhnya.
Di Perancis, akademi bola sepak menjadi tulang belakang kelab, dengan PSG dan Lyon sebagai contoh kelab yang berjaya menghasilkan ramai pemain berkualiti melalui pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan belia.
Malaysia perlu menjadikan pembangunan akar umbi sebagai syarat pelesenan kelab dengan insentif khas bagi kelab yang berjaya mengembangkan bakat tempatan melalui akademi profesional, kerjasama universiti, dan sekolah sukan.
Itali pula memberi tumpuan kepada tradisi dan gaya permainan tempatan, tetapi dalam masa sama membuka ruang untuk pelabur asing membawa modal dan idea baharu ke dalam kelab. Malaysia boleh membuka ruang kepada pelabur luar yang benar-benar berkelayakan untuk memiliki kelab, dengan kawalan integriti dan ketelusan, sambil mengekalkan identiti tempatan agar tidak hilang jati diri bola sepak nasional.
Walaupun struktur sosial, budaya dan ekonomi Malaysia berbeza dengan negara Eropah, prinsip profesionalisme, tadbir urus bebas, serta ekosistem ekonomi sukan tetap boleh disesuaikan dengan pendekatan lokal.
Apa yang diperlukan ialah keberanian politik, kerjasama antara sektor awam dan swasta, serta iltizam untuk meletakkan bola sepak sebagai satu industri sebenar, bukan sekadar platform retorik sukan negeri.
Kesimpulannya, Malaysia perlu mengambil inspirasi daripada liga-liga Eropah untuk membina model liga bola sepak nasional yang mampan, bebas politik, berorientasikan komuniti, dan berasaskan profesionalisme sejati.
Transformasi ini tidak berlaku dalam semalam, namun langkah kecil ke arah perubahan struktur dan pemikiran perlu bermula sekarang agar masa depan bola sepak Malaysia tidak terus terkubur.
Disediakan oleh:
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah Kanan Sains Sukan
Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi
Universiti Teknologi Malaysia
Must-Watch Video