Skip to main content

Bola Sepak

Real Madrid menjadi mudah berpuas hati, kata Victor

ronaldo_11.jpg
Real Madrid bersikap mudah berpuas hati sambil Barcelona "mencipta semula diri mereka", kata bekas pemain tengah, Victor Sanchez.

Barca, dikejutkan dengan keputusan seri 0-0 dengan Getafe pada hujung minggu lalu, namun masih memimpin LaLiga dengan kelebihan 17 mata ke atas seteru ketat mereka itu yang menghuni tangga keempat. 

Madrid juga mengalami kejutan dalam Copa del Rey apabila disingkirkan Leganes dan harus mengalahkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) sekiranya mereka berhajat untuk merakamkan kejuaraan ketiga berturut-turut Eropah.

Victor, yang muncul dari akademi Madrid lalu memenangi LaLiga dan UCL bersama pasukan senior, percaya kelab lamanya itu terpaksa membayar harga yang mahal ekoran mengendurkan semangat mereka. 

"Kelalaian adalah musuh terbesar dalam prestasi tinggi," katanya kepada AS.

"Real Madrid berada di kedudukan yang tidak selesa selama beberapa tahun kerana mereka harus bersaing dengan pasukan terbaik Barcelona. Situasi itu merupakan faktor motivasi, menjadikannya lebih proaktif dan menghalang anda keluar daripada zon keselesaan.

"Pada dua tahun terakhir, Real Madrid berjaya mencapai sasaran mereka, menjadi pasukan nombor satu dengan skuad berkualiti yang membolehkan jurulatih meletakkan dua barisan utama berbeza yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

"Apa yang telah berlaku sejak mereka mencapai kejayaan itu, tahap prestasi mereka telah merosot sementara Barca telah mencipta semula diri mereka sendiri berkat motivasi mereka yang baru untuk kembali ke puncak. Real Madrid seperti hanyut dengan kepuasan kejayaan."

Justeru, Victor berasakan ketua jurulatih, Zinedine Zidane, perlu memainkan peranan menyingkirkan keangkuhan dalam skuad itu setelah membantu Madrid memenangi lapan trofi utama dalam tempoh dua tahun.

"Ini jelas merupakan salah satu tanggungjawab jurulatih, namun pengarah bola sepak dan kakitangannya turut berkongsi sebahagian tanggungjawab itu," kata Victor, yang dipecat oleh Real Betis pada Mei tahun lalu.

"Mereka perlu berusaha dalam rangka kerja strategik yang jelas supaya semua orang bekerja ke arah yang sama. Itulah salah satu bahagian pekerjaan yang paling sukar dan menarik.

"Anda perlu mengekalkan tahap motivasi, usaha dan komitmen yang tinggi ... perlu mengekalkan tahap anda setinggi yang mungkin dan mengelakkan kecenderungan semulajadi manusia untuk berehat sesudah mencapai sasaran.

"Anda perlu melawan kepuasan dan menyekat sesiapa daripada memasuki zon selesa. Apabila anda membetulkannya, pemain akan berkembang dan persembahan mereka bertambah baik dan anda juga membantu kelab meningkatkan nilai asetnya yang paling penting, iaitu pemainnya."
 

Advertisement

Must Watch Video