Skip to main content

Bola Sepak

Rahmad congak strategi elak diperangkap Tok Gajah

270117-t-team.jpg
Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, menyedari ancaman yang bakal diberikan Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Darulmakmur malam ini sambil menyifatkan skuad Tok Gajah sebagai pasukan ‘luar biasa’ musim ini.

“Sudah tentu mereka dalam semangat yang tinggi selepas kejayaan mengutip satu mata di gelanggang lawan dalam perlawanan pertama.

“Kami menjangkakan Pahang akan memberikan cabaran sengit kerana mereka mempunyai pemain tempatan dan import yang berkualiti.

“Persiapan mereka tahun ini juga sangat ‘luar biasa’ memandangkan pasukan lain hanya ada empat pemain import, tetapi mereka ada lebih,” kata ketua jurulatih berasal dari Indonesia itu.

Bakal beraksi tanpa dua pemain utama, Mohd Nor Hakim Hassan dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, sedikit rombakan pasti dilakukan Rahmad, terutama di bahagian tengah, dengan kembalinya pemain import, Mamadou Samassa, daripada kecederaan.

“Ketiadaan dua pemain ini sangat dirasai, namun saya yakin kemampuan pemain-pemain lain untuk menggantikan posisi mereka.

“Saya mempunyai pilihan seperti Badrul (Hisyam Morris), Shakir (Zufayri Ibrahim), Mohd Fakhrurazi (Musa) dan Mohd Azalinullah (Alias). Malah, kemasukan Samassa memang dinantikan untuk menambah sengat di jentera tengah.

“Meskipun tidak mahu terlalu bergantung kepada Samassa, kehadirannya diharapkan dapat membantu Farhod (Tadjiyev) di bahagian serangan, sekaligus memastikan kami dapat mencuri mata di Kuantan,” tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video