Pengendali Southampton, Claude Puel, tidak pasti sama ada pemain pertahanan, Virgil van Dijk, sempat pulih daripada kecederaan berdepan Liverpool dalam separuh akhir kedua Piala EFL pada Rabu.
Van Dijk masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan buku lali apabila dikasari Jamie Vardy dalam kemenangan 3-0 ke atas Leicester City, semalam.
Pertahanan Belanda itu kemudian digantikan dengan Jack Stephens pada minit ke-55 dan Puel kini menghadapi kekurangan bek tengah susulan Jose Fonte baru sahaja melengkapkan perpindahan ke West Ham pada Jumaat.
Puel berharap Van Dijk sempat pulih, namun dia belum pasti sama ada perkara itu mampu berlaku ketika Saints mendahului 1-0 dalam separuh akhir pertama.
"Dia tidak mampu meneruskan perlawanan. Kami akan lihat dalam perlawanan seterusnya, saya tidak pasti jika dia sempat pulih," kata Puel ketika sesi sidang media.
"Dia mengalami terjahan yang agak keras.
"Saya berharap Virgil akan beraksi kerana dia kapten pasukan ini dan dia seorang pemain yang penting."
Meskipun kehilangan Fonte yang telah berhijrah, Puel bagaimanapun enggan panik dalam mencari pemain gantian.
"Kami akan lihat hingga ke penghujung hari perpindahan, dari situ kami akan menilai sama ada perlunya untuk membawa masuk muka baru."