Skip to main content

Bola Sepak

PSG lebih agresif di bawah sentuhan Emery -- Silva

psg-stronger-under-emery-than-blanc-silva.jpg
Thiago Silva percaya Paris Saint-Germain (PSG) kini lebih mantap di bawah kendalian Unai Emery berbanding Laurent Blanc.

Juara bertahan Ligue 1 itu kembali meraih rentak kemenangan sejak aksi hambar Disember lalu, yang menyaksikan mereka sekadar menang sekali dalam lima perlawanan.

Kejayaan 2-0 ke atas Metz dalam saingan Coupe de la Ligue di mana Silva menyumbat dua gol merupakan kemenangan ketiga mereka secara berturut-turut. 

Skuad Emery itu meledak 14 gol tanpa bolos dan Silva memuji jurulatih dari Sepanyol itu berhubung rangkaian serangan mereka yang berbahaya. 

"Kami lebih agresif di atas padang, kami cuba untuk menjaringkan gol sebanyak yang mungkin," kata pemain berusia 32 tahun itu. 

"Musim lalu di bawah kendalian Blanc, kami menjaringkan banyak gol tetapi kami tidak begitu berusaha untuk mendapatkan gol kedua dan ketiga dalam setiap perlawanan. Emery pula mahu kami menjaringkan lebih banyak gol dan menghormati lawan kami. 

"Saya fikir kami kini berada di kedudukan yang lebih baik. Malah, berdasarkan pertemuan dengan Lorient sebelum cuti musim sejuk (PSG menang 5-0), ia perlawanan yang sangat menarik."

Prestasi semasa PSG memberikan kelegaan buat Emery yang berdepan krisis selepas ditimpa kekalahan liga keempat apabila tewas 2-1 kepada Guingamp pada 17 Disember. 

Selepas kemenangan ke atas Metz, Bastia dan Lorient, kunjungan ke Rennes adalah ujian terbesar mereka, namun Silva berkata skuadnya kini sudah dapat menyesuaikan diri. 

"Apabila merombak barisan kakitangan teknikal, kami memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Adakalanya anda tidak fahami apa yang dimahukan.

"Selepas enam bulan, kami kini sudah memahami apa yang dimahukan jurulatih. Itulah punca peningkatan prestasi kami. 

"Saya harap kami terus mempamerkan aksi sebegini kerana kami bakal berdepan perlawanan-perlawanan penting."
 

Advertisement

Must Watch Video