Skip to main content

Bola Sepak

Program akar umbi, NFDP agenda penting FAM -- Stuart

nfdp.jpg
Tempoh tiga tahun  diberikan kepada Stuart Ramalingam sebagai setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjadikan segala aspirasi FAM yang ditunjangi presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, satu realiti.

Antara komponen penting buat Stuart ialah memastikan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) menjadi sebahagian daripada FAM.

Diasaskan pada 2011, program berkenaan menjadi medan mencari dan membentuk bakat akar umbi di seluruh negara yang merupakan sebahagian daripada ilham kerajaan terdahulu.

Hari ini, bakat daripada NFDP sudah mula mendapat perhatian kelab profesional Eropah.

Tambahan pula, skuad B-16 negara bimbingan Lim Teong Kim dibentuk daripada program ini dan dicanang berupaya layak ke Piala Dunia B-17 pada 2019.

Anehnya, NFDP tidak memiliki pertalian dengan pemegang taruh terbesar bola sepak negara, iaitu FAM sendiri.

"Saya ingin menegaskan bahawa kertas dan rangka kerja yang dibuat oleh exco FAM sekarang bukanlah sekeping kertas yang hanya disimpan dalam laci.

"Ia (mencerminkan) satu kemampuan dan kapasiti yang FAM miliki serta orang yang terbabit dalam industri ini. 

"Pelannya harus relevan dan bersifat terkini dan mendapat sokongan penuh," kata Stuart. 

Antara agenda lain yang perlu digerakkan Stuart adalah pembentukan hala tuju jangka panjang bola sepak Malaysia.

"Saya percaya tanggungjawab FAM adalah menentukan garis panduan bola sepak akar umbi Malaysia.  

"Saya tidak bercakap mengenai tahap elit NFDP semata-mata, sebaliknya peringkat lebih bawah lagi.

"Setiap pemain perlu berada di bawah radar kawalan FAM.

"Untuk mencipta juara dunia, kita harus bermula di peringkat paling bawah seboleh mungkin. 

"Oleh itu, NFDP sangat penting buat FAM," katanya. 

 

Advertisement

Must Watch Video