Skip to main content

Bola Sepak

Prestasi pemain Perak sudah pulih -- Durakovic

5717mehmetdurakovic.jpg
Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, lega dengan kemenangan dalam aksi pembukaan kempen Piala Malaysia yang dibaratkan sebagai petanda positif untuk memadam kemarau 17 tahun tanpa kejuaraan buat skuad Yob.

Kemenangan 2-0 Perak ke atas PKNS FC dalam saingan Kumpulan B malam tadi menguntum senyum paling bermakna Durakovic yang terpaksa menunggu hampir dua bulan untuk mencari kejayaan di laman sendiri.

Ada benarnya faktor cuaca kurang baik sebelum ini banyak mempengaruhi prestasi Perak dan kemenangan kali ini melewati keadaan cuaca yang baik tanpa hujan lebat seperti kebiasaan.

Tegas Durakovic, ia petanda yang cukup bagus buat Perak dan belum terlambat untuk mereka meneruskan momentum yang sama dalam aksi selepas ini.

"Kami menikmati (permainan) pada malam ini (semalam). Kami pulih dengan baik selepas bermain banyak perlawanan.

"Ya, kami akan bertemu Kuala Lumpur yang beraksi baik selepas seri 0-0 dengan Felda United," katanya.

Sementara itu, jurulatih PKNS, E. Elavarasan, terpaksa akur dengan kekalahan pertama mereka dalam saingan Piala Malaysia sambil menerima hakikat lawan beraksi lebih cemerlang di laman sendiri.

"Selepas ketiadaan Safee Sali (cedera), memang kami ada mengubah taktikal sedikit. Walaupun 40 minit pertama nampak baik, dalam separuh masa kedua kami agak kucar-kacir," katanya.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Felda United sekadar berkongsi mata dengan Kuala Lumpur selepas seri tanpa jaringan.

Perak kini menghuni tangga teratas kumpulan, diikuti Felda dan Kuala Lumpur.

Advertisement

Must Watch Video