Skip to main content

Bola Sepak

Pochettino berhajat besar, idam kejuaraan liga

mauriciopochettino-cropped_v38qv3k3tmby1l7l9hs8oihqu.jpg
Mauricio Pochettino berkata dia tidak mempedulikan peluang pasukannya menamatkan sambutan "Hari St. Totteringham" dan menegaskan Tottenham tidak seharusnya membandingkan diri mereka dengan Arsenal.

Tottenham bakal menerima kunjungan The Gunners esok sebagai satu-satunya pencabar realistik terhadap pendahulu liga, Chelsea, yang cuma dipisahkan dengan empat mata di tangga teratas.

Kemenangan ke atas Arsenal esok akan mengesahkan Spurs menamatkan musim pada kedudukan lebih tinggi berbanding Arsenal dalam tempoh 22 musim.

"Hari Totteringham" merujuk kepada ejekan penyokong The Gunners terhadap pasukan jiran itu di mana mereka menilai adalah mustahil bagi Spurs menamatkan musim di kedudukan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, ejekan itu bakal memakan diri andai skuad kendalian Pochettino berjaya mengutip tiga mata, sekaligus berada di depan Arsenal dengan kelebihan 17 mata.

"Bagi saya, ini adalah satu bentuk motivasi. Saya mahu menang kerana ini adalah aksi 'derby'," Pochettino memberitahu media.

"Saya mahu Tottenham merangkul beberapa kejuaraan, saya mahu pemain membuktikan hampir setiap hari bahawa mereka mahu meningkatkan permainan.

"Saya tidak peduli mengenai sambutan bodoh seperti yang kamu katakan itu.

"Disebabkan bahasa Inggeris saya terlalu teruk, jadi saya tidak membaca benda seperti ini. Kami mahu membantu Spurs mencapai kejayaan -- untuk menjadi semakin bagus setiap hari, setiap musim.

"Kami mahu menang dan itulah fokus utama kami."

Meskipun teruja dengan perkembangan Spurs musim ini, namun Pochettino berpendapat menamatkan saingan liga di atas Arsenal bukanlah satu pencapaian andai gagal mengetepikan Chelsea.

"Bagi saya, apabila kamu ketinggalan hanya empat mata di belakang, walaupun dengan baki lima perlawanan -- ia agak mengecewakan jika kami gagal menjuarai liga," tambahnya.

"Saya tidak peduli tentang kedudukan Arsenal. Fokus kami terarah kepada melakar lima kemenangan berturut-turut dan cuba menjuarai Liga Perdana Inggeris."

Advertisement

Must Watch Video