Skip to main content

Bola Sepak

PKNS pamer aksi konsisten -- Asmawi

pkns120218.jpg
Persembahan konsisten serta momentum yang lancar memainkan peranan penting dalam usaha PKNS FC mempamerkan kejutan setelah berjaya mendahului carta liga selepas tiga perlawanan.

Skuad PKNS FC mencipta kejutan musim ini apabila muncul peneraju Liga Super di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

Kekalahan Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi minggu lalu menyaksikan PKNS mendahului saingan Liga Super selepas mencipta dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri, PKNS telah berjaya mengambil kesempatan untuk memberikan persembahan konsisten sepanjang tiga perlawanan sebelum saingan liga berehat buat seketika untuk menerajui Liga Super.

"Kekalahan pasukan pilihan memberikan ruang kepada PKNS untuk mengambil kesempatan mendahului carta liga.

"Selepas tiga perlawanan ini, kita dapat melihat bahawa momentum yang perlu diteruskan memainkan peranan penting bagi menghadapi saingan liga," katanya.

Di sebalik kemenangan bermakna buat Kuala Lumpur apabila berjaya mengejutkan JDT 1-0 di Stadium Cheras, Asmawi berharap mereka serta beberapa pasukan seperti PKNP dan Kelantan untuk menilai semula keberkesanan pemain import yang dilihat sebagai pemisah dengan pasukan lain.

"Walaupun Kuala Lumpur telah mencipta kemenangan ke atas JDT, mereka seharusnya meneliti persembahan pemain-pemain import kerana mereka gagal untuk memberikan persembahan terbaik dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Kehadiran mereka menjadi nadi pasukan untuk memastikan mereka mencipta kemenangan ataupun sebaliknya," ujarnya.

Kredit: PKNS FC

Advertisement

Must Watch Video