Skip to main content

Bola Sepak

Pjanic tempelak pengkritik Juventus

pjanic_1.jpg
Pemain tengah Juventus, Miralem Pjanic, berkata kritikan keras terhadap mereka selepas seri 2-2 dengan Tottenham Hotspur adalah kerana pengkritik berkenaan tidak menghargai kekuatan pasukan Liga Perdana Inggeris.

Dalam pertemuan minggu lalu, Juve mendahului 2-0 pada 10 minit pertama aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) itu, namun jaringan Harry Kane dan Christian Eriksen mengikat kedudukan dan seterusnya memberi mereka kelebihan untuk aksi timbal balik di Wembley nanti.

Jaguh Serie A itu dihujani kritikan atas persembahan di Turin itu sehingga mendorong penyerang, Gonzalo Higuain -- yang menyumbat kedua-dua gol tersebut -- membidas penyokong sendiri. 

Pjanic menegaskan Juve tidak sepatutnya kecewa dengan keputusan menentang skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu. 

"Terlalu banyak kritikan berikutan aksi dengan Tottenham yang merupakan pasukan yang sangat baik di bahagian tengah," katanya kepada Premium Sport.

"Mereka pasukan yang berkualiti, jadi mereka yang mengkritik Tottenham mungkin tidak tahu.

"Kami sepatutnya tampil dengan lebih baik sejurus mendahului 2-0 tetapi ia belum berakhir, kami percaya kepada diri sendiri dan kami pasti mampu melakukannya."

Sungguhpun kempen Juve di Eropah masih bernyawa, namun pendahulu Serie A, Napoli, tersingkir dalam Liga Europa susulan kemenangan 2-0 di RB Leipzig tidak memadai untuk mereka mengelak kekalahan berdasarkan peraturan gol tempat di lawan. 

Pjanic menjangka mereka akan bermati-matian memburu gelaran liga sambil memberi amaran kepada Juve untuk berjuang dalam setiap pemburuan trofi. 

"Napoli adalah pesaing hebat kami untuk Scudetto. Sayang sekali mereka mahu mara jauh di Eropah," katanya.

"Saya fikir kami akan berentap dengan Napoli sehingga perlawanan terakhir dan pertemuan di tempat sendiri nanti akan menentukan kejuaraan Scudetto, seterusnya dalam Coppa Italia dan UCL," tambahnya.

Pjanic berharap kembalinya Blaise Matuidi, yang tersisih dalam tiga perlawanan terakhir akibat hamstring, mencetuskan berita gembira.

"Saya mengenali Blaise, pemain agresif yang memberi anda kelebihan fizikal dan larian, dia banyak membantu saya. Dia kembali bersama pasukan, menjadi pemain penting dan kepulangannya pasti bernilai bagi kami," katanya. 





 

Advertisement

Must Watch Video