Pemain tengah Kelantan, Badhri Radzi, mengakui tertekan dengan isu yang semakin galak menyelubungi The Red Warriors walaupun hakikatnya mereka belum lagi memulakan saingan Liga Malaysia 2017.
Isu yang melanda Kelantan hanya melibatkan pihak pengurusan, namun selaku pemain senior, Badhri atau Piya tidak terkecuali daripada berasa tertekan dengan apa yang berlaku dalam pasukan ketika ini.
Tegas Badhri, semangat sebagai anak jati Kelantan tidak sesekali tercalar dengan pelbagai isu yang bertebaran.
Dia bersama rakan sepasukan yang lain bertekad mahu membalas budi pihak pengurusan yang menghormati kontrak pemain dengan tidak meneruskan hasrat menarik diri daripada saingan liga.
"Bagi saya, kami ada sasaran tersendiri, iaitu tampil lebih baik berbanding musim lepas.
"Musim ini, saya harapkan satu kelainan untuk Kelantan kembali bangkit," ujarnya.
Seorang lagi pemain senior Kelantan, Indra Putra Mahyuddin, turut melaungkan keazaman sama.
Menyedari kekuatan Kelantan turut melibatkan pemain muda, itu bukan penghalang untuk Kelantan menyasarkan kejuaraan musim 2017.
"Buat masa ini, pihak pengurusan tidak meletakkan sebarang sasaran khusus tetapi kami sebagai pemain sentiasa meletakkan sasaran sendiri bagi memastikan kami berada di tahap yang terbaik," jelasnya.