Skip to main content

Bola Sepak

Piala Presiden: T-Team garang atasi Perak

t-team-presiden.jpg
Naib juara musim lalu, T-Team, mencatat kemenangan penting mengatasi Perak 3-1 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.

Tuan rumah bermula baik pada minit keenam apabila hantaran Engku Muhd Nurshakir berjaya menemui Muhammad Akram Asidi di depan pintu gol, namun penyerang itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Lima minit kemudian, giliran Perak menguji kubu lawan yang menyaksikan percubaan pemain pertahanan, Mohd Nazirul Afif, tinggi melepasi pintu gol T-Team.

Peluang T-Team terus menyusul pada minit ke-23 menerusi sepakan percuma Mohd Zarulizwan Mazlan yang bagaimanapun gagal menepati sasaran.

Gol pendahuluan mereka hadir pada minit ke-27 selepas sepakan penjuru Muhd Zuasyraf Zulkiefle berjaya mengelirukan penjaga gol Perak, Mohammad Nasrullah, untuk bola menerjah jaring.

Gol itu menaikkan semangat T-Team yang memperoleh satu lagi sepakan percuma di depan kotak penalti lawan, malangnya gagal disempurnakan Mohd Zarulizwan.

Bersambung dalam babak berikutnya, tuan rumah terus agresif dan berpeluang menggandakan jaringan tetapi Mohd Amirul Shafik Che Soh mensia-siakan bola muntah daripada penjaga gol Perak.

Serangan T-Team membuahkan hasil selepas hantaran leret Nurshakir dari sebelah kanan disudahkan dengan baik Mohd Akram untuk gol kedua pasukannya pada minit ke-54.

Kedudukan berubah lagi hanya dua minit kemudian menerusi Zarulizwan yang melepasi kawalan pertahanan Perak sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Nasrullah buat kali ketiga.

Perak cuba mencari gol sagu hati dan usaha mereka berhasil pada minit ke-84 hasil jaringan Abdul Razak Mastor, namun sudah terlewat dan kedudukan 3-1 kepada T-Team kekal sehingga wisel penamat.

Advertisement

Must Watch Video