Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Piala Presiden: Terengganu, PKNS sama liat

piala-presiden-terengganu-1.jpg
TFC III 0 PKNS 0

Terengganu FC (TFC) III mengekalkan kedudukan teratas Kumpulan B meskipun terikat tanpa jaringan dengan PKNS FC dalam saingan Piala Presiden di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.


Selepas mengesahkan tiket ke suku akhir Jumaat lalu, TFC III bermula garang dengan voli dilakukan pemain sayap, Mohd Zarulizwan Mazlan, pada minit ketujuh mula mencemaskan pelawat.

TFC III terus menyerang, namun penjaga gol PKNS, Damien Lim Chien Khai, tangkas menyelamatkan dua sepakan percuma Mohd Zarulizwan pada minit ke-11 dan 13.

Tiga minit kemudian, berpunca daripada serangan balas tuan rumah, Abdul Halim Hamzah melepaskan rembatan leret di dalam kotak penalti tetapi cemerlang ditepis Chien Khai.

PKNS memperkemaskan rentak dan peluang pertama hadir pada minit ke-27 menerusi sepakan percuma Ariff Ar-Rasyid Ariffin yang tinggi melepasi sasaran.

Seminit bersambung dalam babak kedua, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali hampir menjaringkan gol pembukaan tetapi Chien Khai mudah membaca percubaan leret pemain gantian tuan rumah itu.

Pada minit ke-69, PKNS dihidangkan peluang terbaik melalui Muhammad Ashraf Abdul Nasir, malangnya penyerang muda itu gagal menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohamad Shafawi Mohamad.



Giliran TFC III melancarkan serangan selepas itu tetapi usaha tuan rumah memecahkan kebuntuan tidak kesampaian apabila rembatan Muhammad Izzan Syahmi (m-73) dinafikan tiang gol.

Pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ahmad Ikhwan Hafiz dilayangkan kad merah pada minit ke-80, bagaimanapun kelebihan itu tidak dimanfaatkan TFC III.

Berbaki dua perlawanan kumpulan, TFC III masih di tangga teratas dengan 39 mata manakala PKNS di kedudukan kesembilan dengan mengumpul 17 mata.

Advertisement

Must Watch Video