Skip to main content

Bola Sepak

Piala Presiden: Tengku Hazman optimis rebut slot ke suku akhir

11717pialapresident-team.jpg
Jurulatih T-Team, Tengku Hazman Raja Hassan, optimis pasukannya mampu menempatkan diri dalam empat pasukan teratas untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala Presiden.

Kemenangan 3-1 ke atas Perak, kelmarin, mencerahkan peluang naib juara musim lalu itu meskipun Tengku Hazman mengakui risau kegagalan menyudahkan serangan akan kelak menghukum mereka.

Menurut bekas ketua pasukan negara itu, pemainnya mengalami ‘penyakit’ yang agak membimbangkan, iaitu kesukaran menukar peluang kepada jaringan gol.

“Saya mempertaruhkan tiga penyerang, Engku Muhd Nurshakir, Muhammad Akram Asidi dan Mohd Zarulizwan Mazlan kerana mahukan lebih banyak gol.

“Ternyata percaturan itu menjadi dan saya mahu pasukan ini mengekalkan rentak kemenangan. Baki dua perlawanan selepas ini harus ditamatkan dengan kemenangan,” ujarnya.

The Young Titans kini di kedudukan keempat Kumpulan B dengan mengumpul 26 mata, hanya satu mata di belakang Selangor dan Kuala Lumpur manakala Negeri Sembilan unggul dengan 34 mata.

Begitupun, tiga pasukan masih mengekori rapat di belakang T-Team memungut 25 mata, iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Lawan T-Team seterusnya, Pahang, pula di tangga ketujuh dengan 24 mata.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Sayuddin Mohd Isa, berpendapat moral pasukannya mulai jatuh sebaik sahaja T-Team memperoleh jaringan pertama.

Katanya lagi, pemain-pemain gagal mendapat rentak akibat sering kehilangan bola, mengakibatkan mereka hilang fokus untuk melakukan serangan.

“Walaupun peluang ke suku akhir sudah tertutup, kami mahu memperbaiki kedudukan dari tiga terbawah sekurang-kurangnya ke tangga kelima,” tambah Sayuddin.

Advertisement

Must Watch Video