Skip to main content

Bola Sepak

Piala Presiden: Kelantan belasah ATM

zahasmi-tpw_1.jpg
Kelantan merakamkan kemenangan pertama di gelanggang sendiri apabila membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 6-0 dalam aksi berat sebelah saingan Kumpulan A, Piala Presiden, petang tadi.

Ketua pasukan, Nik Azli Nik Alias, memulakan pesta jaringan The President Warriors (TPW) melalui rembatan kencang menewaskan penjaga gol ATM, Razif Mohd Hidzir, pada minit ke-23.

Lima minit kemudian, pemain tengah, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, menggandakan kedudukan TPW.
 
Pertahanan kental, Muhammad Syaiful Alias, menjaringkan gol ketiga TPW untuk Kelantan selesa pada babak pertama.

Nik Azli terus berbisa dalam babak kedua sambil menambah dua gol lagi pada minit ke-52 dan 64 sebelum perancang kreatif, Nik Akif Syahiran Nik Mat, menutup permainan dengan gol keenam pada minit ke-75.

Ketua jurulatih TPW, Zahasmi Ismail, jelas gembira dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya sambil menyifatkan keinginan untuk menang kali pertama di gelanggang sendiri sebagai resipi kejayaan.

"Selepas mengutip tiga mata menentang Perlis, kami mahu mengekalkan momentum kemenangan, sekali gus mencatatkan kemenangan pertama di stadium keramat ini.

"Alhamdulillah, menang besar dan tanpa bolos adalah kejayaan berganda petang ini. Tahniah kepada semua pemain," katanya.

Untuk rekod, kemenangan ini membolehkan TPW memungut 12 mata hasil daripada tiga kemenangan dan tiga keputusan seri manakala kekalahan terus meletakkan ATM di dasar carta liga dengan satu mata.
 

Advertisement

Must Watch Video