Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Sarawak ucap selamat tinggal

sarawak-fa.jpg
Penyokong setia Sarawak terus kempunan melihat kemenangan di gelanggang sendiri.

Terbaru, giliran Johor Darul Ta'zim (JDT) pula melemaskan pasukan kesayangan mereka dalam aksi 90 minit Piala Malaysia "yang menghiburkan", malam tadi.

Dalam perlawanan itu, anak-anak buah Pengiran Bala menunjukkan semangat melawan yang agak garang sepanjang 40 minit awal permainan sehinggalah pemain import, Mohammad Ghaddar, meledakkan jaringan pertama pelawat apabila dengan tenang menyambut tendangan percuma kapten, Safiq Rahim.

Membariskan 60 peratus pemain muda, termasuk dua pemain Piala Presiden, Jimmy Raymond dan Nor Azizi Ramlee, Pengiran Bala membuat percaturan yang berani.

JDT yang dibarisi pemain bintang bukanlah saingan anak-anak muda ini, namun mereka berjaya bangkit melawan dan menggerakkan serangan balas pantas.

Kredit perlu diberikan kepada Tommy Mawat Bada, Mohd Sahil Suhaimi, mahupun Milos Raickovic di atas kesungguhan yang ditunjukkan. Sekurang-kurangnya 40 peratus penguasaan padang milik mereka.

Namun, motivasi serangan bagaikan terhenti tatkala Safiq menyempurnakan sepakan percuma ke penjuru kanan gawang Aidil Mohammad untuk gol kedua JDT pada minit ke-75.

Sepanjang aki 25 minit perlawanan, Pengiran Bala sekadar boleh berpuas hati kerana dapat menurunkan pemain-pemain muda buat bekalan pengalaman bagi perlawanan seterusnya.

Ketika ditemui kemudian, pengendali berpengalaman itu mengakui kecewa dengan keputusan tetapi gembira dengan peningkatan persembahan.

"Hendak disamakan kita dengan JDT, ibarat langit dengan bumi.

"Tetapi sekurang-kurangnya anak-anak muda yang kita dedahkan membuktikan keberanian hingga menghadirkan cemas di pintu gol lawan," katanya.

Tambahnya, apa yang berlaku malam tadi membuktikan betapa Sarawak perlu percaya akan kebolehan pemain-pemainnya.

"Malam ini saya gembira dengan penampilan sulung Jimmy (Raymond), Nor Azizi (Ramlee) dan Mohamad Hafis Saperi.

"Ia pendedahan yang berguna kepada mereka yang pertama kali bertemu JDT dan mereka bermain dengan tenang, percaya akan diri sendiri," tambahnya.

Pengiran Bala mengakui dalam persembahan malam tadi, banyak peluang yang tidak dimanfaatkan.

"Ini tidak boleh terus berlaku jika kami masih mahu kekal bersaing.

"Bagi barisan benteng pula, saya gembira dengan kesungguhan pemain muda seperti Jimmy dan Rodney Celvin Akwensivie yang bekerja keras menahan asakan lawan.

"Komitmen mereka menyebabkan lawan agak sukar melaksanakan asakan bertubi-tubi dan menghadirkan saingan yang agak mencabar kepada Mohammad Ghaddar dan S. Kunanlan.

Pemain-pemain ini, jelasnya, berjaya menutup ruang seperti yang dirancang dan mengelakkan lawan terus maju membuat hantaran berbahaya di hadapan pintu gol.

"Ini petanda baik dan dengan sedikit peluang lagi, saya percaya mereka akan lebih matang.

"Sekurang-kurangnya apabila berlaku kecederaan kepada pasukan, kami ada pemain-pemain alternatif."

Sarawak akan bertandang ke Selangor bagi meneruskan baki perjuangan dalam Piala Malaysia.

"Mungkin kami akan menurunkan skuad yang sama ... dan kami akan berusaha untuk terus mencipta kejutan dalam aksi seterusnya," ikrarnya lagi.

Advertisement

Must Watch Video