Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Dollah kecewa kempunan tiga mata

19717dollahsalleh.jpg
Riak kecewa terpancar di wajah pengendali Pahang, Dollah Salleh, selepas menyaksikan pasukannya sekadar seri 1-1 ketika bertemu T-Team dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Kuala Terengganu, malam tadi.

Bagi Dollah, meskipun menguasai hampir keseluruhan perlawanan, kesempatan itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya dengan kegagalan mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol.

Tambah memeritkan, katanya, Pahang beraksi lebih baik berbanding pasukan lawan dan terpaksa menelan hakikat melupakan hasrat mencari kemenangan pertama.

“Saya sudah menjangkakan kami akan mengawal rentak permainan malam ini (malam tadi) dan yakin dapat membawa pulang mata penuh.

“Kesudahannya sangat mengecewakan kerana Pahang mempamerkan aksi lebih baik,” katanya.

Dalam perlawanan itu, skuad Tok Gajah hanya memerlukan seminit untuk mendahului melalui jaringan Mohamadou Sumareh.

Kedudukan itu berubah menjadi 1-1 selepas pemain sayap T-Team, Mohd Nor Hakim Hassan, menyambung hantaran Ooi Shee Keong untuk menyamakan kedudukan pada minit kelima.

Pahang lebih banyak menguasai jentera tengah dan hampir mendapat gol kedua pada minit ke-15, namun percubaan Sumareh dinafikan penjaga gol tuan rumah, Mohd Hafidz Romly.

T-Team sesekali melakukan serangan balas yang menyaksikan rembatan Yannick N’Djeng (m-38) diselamatkan Wan Muhammad Azraei Wan Teh.

Babak kedua terus memperlihatkan dominasi Pahang menerusi rembatan Matheus Alves pada minit ke-57 tetapi ditepis Mohd Hafidz.

Peluang pelawat menyusul lagi pada minit ke-78, bermula daripada hantaran Christie Jayaseelan yang berjaya menemui Ashari Samsuddin tetapi sepakan bekas pemain Terengganu itu tersasar ke sebelah kiri pintu gol T-Team.

Keputusan seri ketiga berturut-turut dalam saingan Piala Malaysia itu, bagaimanapun, tidak menggusarkan Dollah yang optimis mampu melangkah ke suku akhir.

“Agak menghairankan dengan tiga keputusan seri ini, namun peluang tetap terbuka buat Pahang dan kami akan bangkit semula,” tambah bekas ketua jurulatih negara itu lagi.

Advertisement

Must Watch Video