Skip to main content

Bola Sepak

Piala Konfederasi: Permulaan sempurna buat Russia

russia-180617.jpg
Tuan rumah, Russia, merakamkan kemenangan bergaya dalam perlawanan pembukaan Piala Konfederasi 2017 selepas menewaskan New Zealand 2-0 dalam aksi di St Petersburg, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Russia menyertai sembilan lagi tuan rumah sebelum ini yang turut meraih tiga mata dalam perlawanan pembukaan dalam saingan edisi terdahulu.

Pertahanan Skuad All Whites, Michael Boxall, memberikan pendahuluan buat pasukan tuan rumah itu apabila menjaringkan gol sendiri selepas gagal mengeluarkan bola lambungan Denis Glushakov untuk menjadikan kedudukan 1-0 pada minit ke-31.

Walaupun menguasai permainan, skuad kendalian Stanislav Cherchesov tampak gagal menambah jaringan menyebabkan kedudukan kekal 1-0 pada babak pertama.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung, Russia meneruskan serangan dan akhirnya meraih gol kedua.

Kali ini menerusi pemain berusia 27 tahun, Fedor Smolov, apabila penyerang kelab Krasnodar itu tenang menolak masuk bola hantaran dari sebelah kanan ketika penjaga gol New Zealand, Stefan Marinovic, telah tertewas.

Kekalahan itu menyaksikan New Zealand gagal mencatat sebarang kemenangan dalam 10 aksi Piala Konfederasi sejak tahun 1999.

Advertisement

Must Watch Video