Skip to main content

Bola Sepak

Piala Jerman: Eintracht ikrar berjuang habis-habisan bertemu Dortmund

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kovac-240517.jpg
Borussia Dortmund merupakan pasukan pilihan dalam pertembungan Piala Jerman (DFB-Pokal), Sabtu ini, namun jurulatih Eintracht Frankfurt, Niko Kovac, berikrar bahawa pasukannya akan memberikan segala-galanya.

Anak buah Kovac jelas adalah pasukan 'underdog' dalam aksi di Berlin itu nanti, dengan Dortmund mara ke perlawanan akhir dalam tempoh tiga musim lalu -- tewas dalam semua final berkenaan.

Jurulatih itu bakal berdepan tugas berat di Olympiastadion nanti tetapi menegaskan Eintracht tidak akan berdiam diri dalam perlawanan akhir.

"Dortmund adalah lebih baik daripada kami," kata Kovac kepada pemberita.

"Tetapi kami juga mempunyai faktor lain. Kami tidak akan memberi laluan mudah kepada mereka dan akan mencurahkan segala-galanya ketika berdepan mereka.

"Di atas kertas, kami bukan pilihan. Tetapi, dalam permainan segalanya mungkin. Kami akan ke Berlin dengan penuh yakin.

"Latihan sebelum perlawanan akan diadakan seperti biasa. Kami tidak membuat sebarang perbezaan. Keseluruhan kelab akan berangkat bersama-sama ke Berlin. Semua pemain yang tercedera turut hadir."

Sementara itu, Kovac yang mewakili Croatia sebagai pemain tetapi dilahirkan di Berlin, teruja untuk kembali ke kampung halamannya.

"Saya gembira untuk kembali dan bertemu ramai kawan-kawan dan juga keluarga saya," tambah Kovac. "Ini menjadikan perlawanan ini agak istimewa bagi saya.

"Ini adalah sesuatu yang istimewa untuk semua orang, bukan sahaja pemain, malah untuk seluruh kelab dan peminat.

"Saya berasa sangat sukar untuk tidak berfikir tentang perlawanan akhir ini. Siapa tahu bilakah kami akan layak ke perlawanan akhir lagi.

"Dortmund benar-benar sebuah pasukan mantap dan tidak mempunyai kelemahan. Kami perlu menumpukan perhatian kepada diri sendiri."

Kovac menjangka Jesus Vallejo dan ketua pasukan, Alex Meier, bersedia untuk diturunkan sambil berharap Slobodan Medojevic dan Andersson Ordonez akan sempat mencapai kecergasan.

Advertisement

Must Watch Video