Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Piala FA: Selangor pastikan tiada keajaiban berlaku

nazliazmi.jpg
Selangor berjaya mempertahankan kelebihan empat gol untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA melalui kemenangan agregat 5-1 selepas terikat 1-1 dengan PKNS FC dalam aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

PKNS memerlukan lebih daripada keajaiban untuk melangkah ke final selepas dibelasah 4-0 dalam separuh akhir pertama di Cheras, 23 Jun lalu.

Tampil dengan corak agresif, PKNS berpeluang meraih gol pembakar semangat pada minit ke-16 melalui tandukan Safee Sali hasil hantaran Daniel Ting tetapi gagal menemui sentuhan penyudah.

Penyerang veteran, Amri Yahyah, juga tidak menemui sentuhan penyudah selepas sepakan percumanya pada minit ke-24 dinafikan Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Selepas rehat, PKNS masih belum berputus asa mencari gol sulung, sekali lagi melalui Safee pada minit ke-52 dengan tindakan susulan Rafael Ramazotti juga tersasar.

Selangor bijak memanfaatkan kesilapan yang dilakukan Daniel pada minit ke-70 yang mendada lemah bola ke belakang dan disambar Rufino Segovia bagi membunuh api perjuangan PKNS.

Bagaimanapun, tuan rumah menerusi K. Kannan juga melakukan kesilapan pada minit ke-90 apabila tandukan ke belakang yang dibuatnya gagal diduga Khairulazhan Khalid sebelum Alif Haikal pantas meyambar untuk keputusan penuh 1-1.

"Sudah tentu ketinggalan 4-0, mereka akan bermain memaksa kami melakukan kesilapan pada 10 minit pertama di zon kami.

"Alhamdulillah, pemain dapat mengawal keadaan dan mereka fokus mengekalkan empat gol. Pada masa yang sama kami  mencuri peluang untuk menjaringkan gol menerusi Rufino," kata jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir.

"Kami mahu kemenangan walaupun kami tahu bukan senang untuk menterbalikkan defisit apabila Selangor sudah mendapat empat jaringan di tempat sendiri. Bukan senang bagi kami. Kami mahu melihat bagaimana mentaliti pemain saya," kata jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal.
 

Advertisement

Must Watch Video