Skip to main content

Bola Sepak

Piala FA: Selangor bermain sehabis baik -- Nazliazmi

nazliazmi8418.jpg
Jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, memuji persembahan pemainnya yang mengikut perancangan sehingga berjaya menumpaskan Kuala Lumpur 3-0 dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Cheras, semalam.

"Pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka bermain sehabis baik dan mengikut perancangan. Kalau kita lihat, tiga gol yang terhasil bukannya jaringan yang mudah. 

"Saingan sengit juga diberikan oleh Kuala Lumpur tetapi kami tetap fokus dengan apa jua keadaan yang berlaku," katanya.

Hasrat Kuala Lumpur untuk mempamer penguasaan menerusi barisan terbaik mereka masih gagal menandingi Selangor yang kehilangan tiga tonggak, antaranya kapten, Razman Roslan, Azamuddin Akil dan Joseph Kalang Tie.

Amri Yahyah yang memikul tanggungjawab selaku kapten banyak mencetus peluang, bermula untuk jaringan Willian Pacheco pada minit ke-21.

Hantaran Amri sekali lagi membawa kepada jaringan Selangor, kali ini disempurnakan Rufino Segovia dua minit kemudian.

Selepas itu, kekasaran yang dilakukan import lawan, Guilherme de Paula, menyebabkan dia dilayangkan kad merah pada minit ke-26.

Insiden salah faham membabitkan jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel, dan Amri selepas selesai babak pertama menyaksikan pengendali itu terpaksa memerhati aksi pasukannya dari tempat duduk penonton.

Memasuki babak kedua, Segovia menambah jaringan buat Selangor pada minit ke-90, sekali gus memberi bekalan selesa buat Red Giants dalam aksi timbal balik nanti.

"Ini adalah bola sepak. Kami harus perbetulkan apa yang silap pada minggu ini kerana minggu depan adalah perlawanan Liga Super. Selepas ini, kami akan fikir untuk menangani Selangor," kata Maciel.

Advertisement

Must Watch Video