Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Piala FA: Raja Muda Selangor suntik semangat skuad Red Giants

rajamuda.jpg
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyaksikan sesi latihan pemain pasukan Selangor menjelang aksi final Piala FA menentang Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tiba kira-kira jam 8 malam, diiringi Menteri Besar, Amirudin Shaari, meluangkan hampir satu jam bersama pemain skuad bimbingan Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir itu.

Raja Muda Selangor turut berkenan menyerahkan sut rasmi pasukan itu selain memberi kata-kata semangat kepada pemain sebelum bertemu Pahang malam esok.

"Saya berharap anda semua menunjukkan semangat dan mentaliti untuk menang ketika berdepan pasukan Pahang, malam esok.

“Saya percaya dan yakin kita mampu menang dan menjadi juara Piala FA kali ini," titah baginda kepada pemain.

Selasa lalu, baginda dipilih sebagai presiden baharu FAS dalam Kongres Luar Biasa FAS.

Pemilihan baginda menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang melepaskan jawatan itu untuk memberi tumpuan kepada Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) selaku presiden dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai timbalan presiden.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri berkemungkinan akan memberi imbuhan yang setimpal kepada pemain sekiranya pasukan itu menjuarai Piala FA malam esok.

"Saya tidak akan umumkan apa-apa buat masa ini, namun saya sudah berbincang berhubung nilai ganjaran berkenaan.

“Tetapi apa yang pasti, semua isu kewangan membabitkan tunggakan bayaran gaji, KWSP dan lain-lain akan diselesaikan Isnin ini, serta kemas kini gaji pemain menjelang petang esok," katanya sambil menambah kerajaan negeri sudah menyelesaikan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada keperluan pasukan itu sehingga hujung tahun ini.

Selangor mengesahkan tempat dalam final Piala FA 2018 dengan kemenangan agregat 5-1, selepas seri 1-1 dengan PKNS FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Penampilan skuad Red Giants dalam final Piala FA adalah yang kelapan dan memburu gelaran juara buat kali keenam selepas kali terakhir muncul juara pada 2009.

-- BERNAMA 

Advertisement

Must Watch Video