Tiupan api dan kehangatan bahang saingan Liga Malaysia (Liga-M) terus dimainkan oleh penganalisa-penganalisa bola sepak negara apabila keputusan undian saingan Piala FA musim 2022 telah diketahui semalam.
Dua pasukan yang bertemu dalam perlawanan akhir musim lalu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu berkemungkinan akan bertemu kembali jika kedua-dua pasukan ini berjaya melepasi setiap halangan yang akan ditempuhi kerana kedua-dua pasukan ini akan melalui jalan yang berbeza.
Namun, cabaran yang lebih gentir akan dilalui Harimau Selatan apabila juara musim lalu itu akan berhadapan dengan pasukan-pasukan yang mampu memberi halangan kepada Harimau Selatan.
Antaranya seperti juara lima kali Piala FA, Selangor, Kedah Darul Aman dan pasukan-pasukan yang pernah menjuarai Piala FA yang dipertandingkan semenjak 1990 itu selepas menentang PDRM FC dalam pusingan 16 nanti.
Sudah tentu pengendali baru Harimau Selatan, Esteban Scolari, akan memastikan anak didiknya mampu melepasi semua halangan itu.
Advertisement
Sementara itu, tugas yang lebih berat buat pengedali baru Terengganu, Tomislav Steinbruckner, apabila dipertanggungjawabkan untuk merubah persepsi dan harapan penyokong Sang Penyu serta pengurusan Terengganu terutama bagi mengatasi pencapaian yang telah dibuat pengendali sebelum ini, Nafuzi Zain.
Walaupun perjalanan Sang Penyu nampak mudah berbanding Harimau Selatan, tetapi atas faktor perubahan pemain import serta pemain yang mampu membawa aura kemenangan dalam pasukan iaitu Faisal Halim yang tidak lagi bersama pasukan Pantai Timur itu.
Ini menjadikan saingan Piala FA dilaluan pasukan Terengganu itu lebih terbuka dan pasukan seperti Sabah FC serta Kuala Lumpur City FC juga mempunyai peluang untuk ke separuh akhir sekurang-kurangnya.
Kekuatan mental dan konsentrasi serta aksi yang konsisten daripada pemain-pemain sebenarnya yang akan menentukan kemana arah pasukan itu seterusnya kerana Piala FA dipertandingkan secara kalah mati.
Ini akan menjadikan pertandingan Piala FA musim ini akan bertambah meriah setelah dipromosikan lebih awal oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan promosi berterusan penyiar rasmi Liga Malaysia iaitu Astro melalui Astro Arena.