Skip to main content

Bola Sepak

Piala FA: Dua detik ubah rentak perlawanan -- Bojan Hodak

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kl-city.jpg
Pengendali KL City FC, Bojan Hodak, mengakui terdapat dua situasi penting yang mampu menukarkan rentak perlawanan ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala FA semalam.

Situasi pertama, pada minit ke-16 perlawanan di mana The City Boys mempunyai peluang untuk mendahului perlawanan menerusi percubaan Matko Zirdum namun berjaya ditepis penjaga gol JDT, Syihan Hazmi Mohamed.

Manakala situasi kedua yang dikongsikan Bojan adalah saat pemain tengah JDT, Nathaniel Shio Hong Wan berjaya meledak gol daripada luar kotak penalti sekaligus meningkatkan semangat serta tahap keyakinan pasukan JDT.

Bojan tetap berbangga dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya apatah lagi The City Boys berjaya mara ketiga aksi final dalam masa tiga tahun selepas 30 tahun berlalu tanpa sebarang pencapaian.

"Kami bermain 70 minit penuh berdisiplin, mengikut perancangan pasukan kerana sebelum perlawanan saya menegaskan kepada pemain bahawa KL City perlu menampilkan permainan sempurna untuk mengalahkan pasukan seperti JDT.

"Aksi babak pertama agak baik apabila kami memperoleh dua peluang menjaringkan gol dan bola rembatan Marko (Zirdum), tapi saya tak tahu bagaimana Syihan (Hazmi Mohamed) dapat menyelamatkannya, selain peluang Sara (T Saravanan) yang hampir mencipta gol.

"Namun, apabila pemain JDT nombor enam (Shio Hong Wan) menjaringkan gol...bagi saya pemain itu belum pernah jaring gol sepanjang kariernya telah menyentap semangat juang pemain KL City...disusuli pula gol pemain nombor 10 (Leandro Velazquez) yang jelas meruntuhkan semangat kami,” kata Bojan selepas perlawanan tersebut.

“Bahagian pertahanan KL City menjalankan tugas terbaik selain dua peluang keemasan tapi kita terlepas. Jika kita jaringkan gol, kita ada peluang menjulang trofi, namun apakan daya tuah tidak menyebelahi KL City dalam perlawanan akhir Piala FA kali ini.

"Selepas mengikat keputusan seri tanpa jaringan pada babak pertama, pemain- pemain JDT tampak menggelabah dan tekanan mula menjejaskan rentak permainan pasukan tapi selepas menjaringkan gol JDT mula mendapat keyakinan," katanya.

"Biarpun begitu, saya bangga dengan pencapaian KL City selepas layak ke pentas final selama tiga tahun apabila 13 tahun lalu pasukan ini tidak pernah layak dalam pentas final, selain kami sebuah pasukan yang bajet rendah namun mampu buat kejutan, ia cukup membanggakan," kata Hodak.

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video