PIALA FA
Piala FA: Abu Bakar optimis PKNP masih berpeluang ke separuh akhir
Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menyifatkan perlawanan masih terbuka untuk pasukannya menterbalikkan defisit gol meskipun Felda United mempunyai kelebihan jaringan menjelang perlawanan kedua suku akhir Piala FA 2018, malam ini.
PKNP akan bertandang ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dengan misi untuk memenangi perlawanan, sekali gus mencipta rekod baru kelab itu mara ke peringkat separuh akhir Piala FA buat julung kalinya.
Berbanding Felda yang berhadapan dengan krisis kecederaan menimpa beberapa pemain utama, Abu Bakar menjelaskan PKNP pula yang bebas daripada isu tersebut mampu menurunkan kesebelasan terbaik.
Iklan
"Kami bebas daripada kecederaan dan ini yang kami harapkan dan menggunakan peluang ini untuk menghasilkan kemenangan berharga," kata Abu Bakar.
"Dalam tempoh 90 minit, kami perlu menampilkan persembahan terbaik dan mengelak daripada melakukan kesilapan."
Ketika aksi pertama di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, 7 April lalu, Felda menang 1-0 hasil jaringan Thiago Augusto.
Berbekalkan memori kemenangan 3-1 ke atas Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dalam saingan Piala Malaysia musim lalu, Abu Bakar yakin barisan pemainnya mampu menterjemahkan aksi yang serupa dalam perlawanan kali ini.
"Ketika menyerang, kami perlu fokus untuk bertahan. Segala situasi akan berlaku dalam perlawanan dan berharap PKNP menggunakan peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol."
Must-Watch Video