Skip to main content

Bola Sepak

Piala Emas Raja-Raja Ke-103 platform terbaik pembangunan pemain muda

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

timbalanpresidenfam.jpg
Transformasi perubahan terhadap penganjuran kejohanan bola sepak Piala Emas Raja-Taja bagi edisi ke-103 dilihat mampu menjadikanya platform terbaik bagi menyuntik semangat dan nafas baharu bagi tujuan pembangunan pemain B- 23 negara.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed, ia jelas dapat dilihat dengan penstrukturan semula format pertandingan itu dengan memberikan penekanan terhadap penyertaan pemain muda seluruh negara.

Jelasnya lagi ia amat penting dalam memastikan bakat-bakat muda yang ada dalam negara ketika ini masih mempunyai harapan ketika mereka seakan semakin kehilangan pentas kejohanan yang kompetitif.

Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu juga melihat Piala Emas Raja-Raja akan menjadi platform utama dan terbaik bagi memberi pendedahan kepada pemain untuk memastikan industri bola sepak profsional negara terus berkembang dan relevan.

"Kami mahu Piala Emas Raja-Raja bukan sekadar pertandingan tradisi, tetapi juga sebagai ‘ladang bakat’ yang subur untuk melahirkan pemain masa depan negara untuk Harimau Malaya,” katanya kelmarin. 

Jauh dari itu tambahnya lagi, misi kejohanan tersebut juga selari dengan visi dan misi PBMM yang mahukan bakat-bakat muda bola sepak tanah air yang perlu diberikan peluang dan ruang untuk menjadi pelapis kepada pemain yang ada ketika ini.

Malah, tindakan beberapa pasukan yang terpaksa melupakan saingan liga bola sepak utama negara ketika ini bakal menyempitkan lagi ruang yang mampu diceburi oleh mereka pada masa hadapan.

Kesukaran itu dilihat kian berganda selepas pembubaran saingan Piala MFL yang turut membabitkan pemain bawah 23 tahun.

"Kalau kita tidak menyediakan peluang dan laluan, ke manakah hala tuju pemain muda ini. Ada antara mereka yang tidak berpelajaran tinggi, jadi dengan bola sepak ini mungkin boleh mengubah nasib mereka dan juga mengembangkan bakat serta potensi yang ada.

"PBMM sedia membantu bola sepak negara dengan menyediakan platform untuk pemain khususnya B-23 menonjolkan diri sekali gus kita juga bantu dari aspek pembangunan," Katanya lagi.

Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-Raja merupakan antara penganjuran yang penuh sejarah dan paling lama bertapak di Malaysia selepas Piala Malaysia.

Ia pertama kali dianjurkan pada 1922 membabitkan seluruh negeri di Malaysia termasuk Singapura pada ketika itu.

Pada edisi tahun lalu pasukan MySPRM-ACeIO merangkul gelaran juara selepas menewaskan pasukan Bomba FC pada aksi di final di Stadium Hang Jebat, Melaka.

 

Advertisement

Must Watch Video