Bruno Fernandes mengecam keputusan melantik pengadil dari Argentina dalam suku akhir Piala Dunia di antara Portugal dengan Maghribi yang menjadi punca mereka tersingkir apabila mendakwa: "Mereka jelas berat sebelah kepada pihak lawan".

Portugal terkandas di peringkat suku akhir kejohanan di Qatar itu buat pertama kali selepas lonjakan tinggi Youssef En-Nesyri dalam separuh masa pertama memastikan gol tunggal perlawanan tengah malam tadi.

Bagaimanapun, prestasi pengadil, Facundo Tello, dikritik oleh barisan pemain Portugal selepas perlawanan itu. Lebih-lebih lagi Fernandes dinafikan sepakan penalti selepas diterjah Achraf Hakimi.

Pertahanan Pepe menyifatkan pelantikan Tello itu sebagai "tidak boleh diterima" selepas kekalahan Portugal dan Fernandes turut senada.

"Saya tidak pasti adakah mereka akan menyerahkan piala itu kepada Argentina. Saya akan menyatakan apa yang saya fikirkan dan 'lantaklah' mereka," kata Fernandes kepada pemberita di Stadium Al Thumama.




"Sangat pelik apabila pengadil dari pasukan yang masih berada dalam kejohanan ini bertindak mengadili kami. Mereka jelas berat sebelah.

"Pengadil ini tidak mengendalikan Liga Juara-Juara (UCL). Mereka tidak biasa dengan bahang perlawanan seperti ini dan rentaknya.

"Dalam babak pertama, saya jelas patut dihadiahkan sepakan penalti. Tidak pernah dalam hidup saya untuk membiarkan diri saya terjatuh sendiri apabila saya bersendirian dengan penjaga gol selain berpeluang melakukan rembatan ke arah gawang."