Skip to main content

Bola Sepak

Piala Belia: TFC IV raih kemenangan kedua

tfciv2.jpg
Jaringan penalti lima minit sebelum tamat perlawanan membolehkan Terengganu FC (TFC) IV menang tipis 1-0 ke atas PKNP FC dalam aksi Kumpulan A, Piala Belia di tempat sendiri, petang tadi.

Awal permainan berlangsung seimbang sehingga minit ke-17 apabila tuan rumah melakukan percubaan menerusi Muhammad Syaiful Haqim Shahrul yang tepat ke dakapan penjaga gol lawan.

Sepuluh minit kemudian, PKNP FC turut berkesempatan menguji kubu TFC IV yang menyaksikan sepakan percuma Mohammad Kholib Mat Jaih mudah diselamatkan Syed Muhammad Nasrulhaq.

TFC IV memperkemaskan rentak selepas itu dan pemain tengah, Ahmad Nur Rahman Ab Rasid, hampir menceriakan pasukannya, namun sepakannya pada minit ke-34 sekadar melambung tinggi.

Kecemerlangan Muhammad Farhan Abdul Majid mengecewakan tuan rumah apabila menafikan peluang Muhammad Isa Raman (m-47) serta sepakan percuma Muhammad Azrul Jaffri (m-51, 54).

Penjaga gol muda itu terus menyelamatkan pintu golnya selepas menepis tandukan Muhammad Isa di dalam kotak penalti pada minit ke-57.

TFC IV terpaksa menanti pada minit ke-85 untuk memenangi perlawanan selepas Muhammad Syaiful menyudahkan sepakan penalti, sekali gus mengesahkan kemenangan kedua TFC IV.

Skuad kendalian Subri Sulong itu memungut tujuh mata daripada tiga perlawanan manakala PKNP masih bergelut di kelompok bawahan dengan hanya satu mata.

Bekas pertahanan Terengganu itu yang ditemui selepas perlawanan  menyifatkan semangat juang pasukannya yang tidak berputus asa menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan.

“Pemain-pemain bekerja keras, malah semakin baik dalam penguasaan bola serta gerakan mencipta peluang.

“Rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan awal ini berjaya meningkatkan keyakinan kami,” kata Subri lagi.

Sementara itu jurulatih PKNP, Badrul Hisham Abdul Majid, ternyata kecewa sambil mengakui turun dengan rentak bertahan untuk mencuri satu mata di gelanggang lawan.

“Kami hampir memperoleh keputusan seri dan tidak dinafikan moral pemain sedikit menjunam. Namun, saya yakin masih memiliki ramuan untuk mengubah nasib pasukan ini,” jelasnya.

Advertisement

Must Watch Video