Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Qatar cipta sejarah juara kali pertama

almoezali-cropped_msyw8hz2965p1fab6qnjhhytw.jpg
JEPUN 1 QATAR 3

Almoez Ali mempamerkan persembahan cemerlang untuk membantu Qatar menundukkan Jepun 3-1 di pentas final Piala Asia 2019 di Stadium Zayed Sport City, Abu Dhabi sebentar tadi, sekali gus membolehkan pasukannya mencipta sejarah menjulang trofi buat kali pertama.


Almoez, yang muncul penjaring terbanyak kejohanan menerusi sembilan gol, melakukan sepakan gunting untuk membuka tirai jaringan sebelum bola tendangan lencong Abdelaziz Hatim memberikan Qatar kelebihan dua gol sebelum rehat.

Jepun buntu mencari jaringan walaupun menguasai separuh masa kedua tetapi kekebalan pintu gol Qatar -- yang tanpa dibolosi dalam enam perlawanan terdahulu -- akhirnya lebur apabila Takumi Minamino menyumbat jaringan pada minit ke-69.

Kejayaan Qatar yang dikendalikan Felix Sanchez itu tidak mampu dikekang lagi apabila Akram Hassan Afif tenang menyempurnakan sepakan penalti susulan insiden bola terkena tangan Maya Yoshida bagi mengesahkan status juara buat tuan rumah Piala Dunia 2022 itu.

Almoez hanya memerlukan 12 minit untuk memecah kebuntuan apabila mengawal bola hantaran lintang Akram sambil membelakangkan gawang sebelum melepaskan sepakan gunting yang menewaskan penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda.

Penyerang itu hampir menambah gol kedua tidak lama kemudian tetapi Yoshida pantas menghalang kemaraannya, namun Abdelaziz menggandakan kelebihan buat Qatar apabila tendangan lencongnya dari jarak 25 ela deras menerjah gawang gol.

Sedar akan keampuhan benteng Qatar yang masih belum dibolosi dalam kejohanan, Jepun meningkatkan penguasaan bola untuk bangkit tetapi kesungguhan mereka hampir dihukum Hasan Al Haydos yang melakukan percubaan yang terkena tiang gol.

Abdelaziz melepaskan peluang keemasan untuk mengesahkan kemenangan selepas mensia-siakan kesempatan dari jarak dekat sambil kecederaan yang menimpa Boualem Khouki memberikan ruang buat Jepun memburu jaringan.

Hasilnya, Minamino bijak melepasi perangkap ofsaid untuk memperdayakan penjaga gol Qatar, Saad Al Sheeb, dan melambungkan bola terus ke dalam gawang.

Bagaimanapun, semangat kebangkitan Jepun akhirnya terpadam apabila bola sepakan sudut terkena tangan Yoshida dan selepas meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil perlawanan, Ravshan Irmatov, menunjukkan isyarat sepakan penalti dan Akram tenang menjadikan kedudukan 3-1.

Kejayaan Qatar menjadi lebih manis apabila Almoez muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan gol dan dinamakan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) sambil Saad menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik.

Advertisement

Must Watch Video