BOLA SEPAK
Petar Segrt bijak hidu kelemahan Malaysia
Kealpaan dan kurang persefahaman di antara pemain Malaysia, terutama di bahagian pertahanan tengah, telah menyebabkan Malaysia tewas di tangan Tajikstan. Walaupun anak didik Kim Pan Gon berjaya mendominasi permainan secara keseluruhan, dua jaringan mudah oleh pasukan yang menduduki tangga ke 110 ranking FIFA itu telah meranapkan harapan penyokong Malaysia untuk melihat Harimau Malaya menjulang piala Pestabola Merdeka edisi ke 42.
Sudah tentu ia juga mengecewakan pemain-pemain negara apabila tidak berjaya mencapai misi yang ditetapkan FAM, namun mereka perlu berbangga dengan tahap prestasi yang ditampilkan mereka sepanjang Pestabola Merdeka edisi ke 42 itu. Ia boleh dilihat bagaimana cara mereka bermain mengikut strategi dan formasi yang diguna pakai serta kreativiti mereka sehingga membuatkan lawan mereka tertekan sebagai mana India dan Tajikistan.
Namun, yang membezakan perlawanan akhir semalam adalah jurulatih The Crowns, Petar Segrt, bijak dalam membaca strategi dan taktikal yang diguna pakai Harimau Malaya. Dengan ketiadaan 15 pemain utamanya, beliau mengarahkan anak didiknya supaya bermain mengikut tempo sendiri dengan melakukan ‘middle block’ dan tidak melakukan ‘high pressing’ serta melakukan serangan balas kerana jurulatih dari Croatia itu tahu kekuatan yang ada pada pemain Malaysia. Dengan cara itu juga pertahanan The Crowns berjaya mematikan gerakkan nadi utama Harimau Malaya, terutama di bahagian sayap, iaitu Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim.
Iklan
Ini yang membuatkan setiap gerak tari yang pamerkan Arif dan Faisal berjaya disekat, namun ia tidak menyekat kreativiti anak didik Kim Pan Gon. Walaupun ada gerakan, Harimau Malaya memerlukan lagi seorang penyerang yang kreatif serta teknik yang baik seperti Dollah Salleh dan Azman Adnan suatu ketika dulu kerana apabila dua pemain sayap itu di kunci gerakannya, Darren Lok seperti hilang arah dalam membuat gerakkan penyudah.
Ini yang perlu lihat Kim Pan Gon sebelum bermulanya saingan kelayakkan Piala Dunia pada bulan November dan Piala Asia 2023 di Qatar awal tahun depan. Jika semua masalah ini dapat diperbaiki penulis pasti Harimau Malaya mampu membuat kejutan, terutama di Piala Asia Qatar nanti.
Must-Watch Video