Skip to main content

Bola Sepak

Permulaan sempurna buat Dwyer

dwyer-020717.jpg
Sejak mengambil alih skuad kebangsaan Amerika Syarikat untuk kali kedua pada November tahun lalu, Bruce Arena terus melebarkan rekod tanpa kalah apabila menewaskan Ghana 2-1 dalam satu aksi persahabatan, semalam.

Kemenangan itu disulami aksi menakjubkan daripada pemain berusia 26 tahun, Dom Dwyer, yang menjaringkan gol pembukaan dalam penampilan pertamanya bersama pasukan USMNT.

Dilahirkan di England tetapi menjadi warga Amerika melalui naturalisasi, Dwyer tidak melepaskan peluang untuk memperagakan aksi memukau buat semua penonton di Stadium Pratt & Whitney, Rentschler Field.

Penyerang Sporting Kansas City itu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 apabila melakukan rembatan kencang dari jarak dekat untuk menewaskan penjaga gol, Richard Ofori, sekaligus meletakkan tuan rumah di depan.

Ghana berpeluang baik menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama menerusi sepakan penalti, namun peluang tersebut disia-siakan oleh penyerang, Asamoah Gyan.

Sebaliknya, Kelly Acosta melebarkan kedudukan pada minit ke-52 apabila menyempurnakan sepakan percuma dari hadapan kotak penalti Ghana untuk membuatkan Ofori sekali lagi tertewas.

Gyan menebus kekecewaan daripada kegagalan menyempurnakan sepakan penalti dalam babak pertama lapan minit kemudian apabila merembat masuk sepakan percuma untuk menjadikan kedudukan 2-1 dan merapatkan jurang buat pelawat.

Bagaimanapun, keampuhan barisan pertahanan anak-anak buah Arena menafikan setiap usaha Ghana untuk menyamakan kedudukan dan kedudukan kekal 2-1 sehingga ke wisel penamat.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video