Skip to main content

Bola Sepak

Perginya seorang legenda bernama B. Sathianathan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

b-sathianathan.jpg
Ketika semua peminat-peminat bola sepak tanah air sedang memberikan tumpuan pada perlawanan akhir Piala FA di antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City yang akan berlangsung pada hujung minggu ini, tiba-tiba pencinta bola sepak negara dikejutkan dengan pemergian seoranng bekas pemain dan jurulatih iaitu  B. Sathianathan buat selama-lamanya. 

Ini merupakan satu kehilangan besar buat industri bola sepak negara kerana ilmu dan khidmat bakti beliau dalam membangunkan bola sepak Malaysia.

Memulakan khidmat bakti bersama Negeri Sembilan pada era 80-an sebagai pemain dan seterusnya sebagai pemain negara yang membawa pulang pingat gangsa di temasya Sukan SEA 1983 dan selanjutnya melebarkan kerjayanya sebagai jurulatih secara profesional. 

Sifat yang sangat tegas dan dedikasi dalam menjalankan tugas itulah yang membuatkan Sathianathan sentiasa dihormati dan daripada sifatnya itu jugalah yang berjaya menjulang namanya dalam industri bola sepak negara.

 
Ketika menjadi penolong jurulatih kepada Hatem Souissi membimbing skuad Malaysia B-17 untuk persiapan Piala Dunia B-17 di Malaysia, ketika itulah penulis mengenali dengan lebih dekat dirinya kerana pada ketika itu juga penulis bersama skuad Olimpik 96 yang dikendalikan oleh Claude Le Roy. 

Banyak ilmu yang dikongsikan kepada penulis dan rakan-rakan yang lain. 

Sikap seperti seorang bapa yang mendidik anak-anaknya menjadikan ramai pemain-pemain di bawah bimbingannya berjaya sehingga kini.

Bukan itu sahaja dengan prinsip yang dimilikinya, beliau menjulang beberapa piala bersama-sama dengan pasukan yang dikendalikan dan persatuan yang dipimpinnya. 

Sebagaimana yang semua tahu ketika membimbing Kelantan, beliau menjulang Piala Malaysia 2010 dan ketika memimpin Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM). beliau banyak membuat perubahan dalam membentuk hala tuju persatuan yang lebih jelas. 

Jika ‘Harimau mati meninggalkan belang Manusia mati meninggalkan nama dan jasanya’ begitulah dengan pergi seorang lagenda bola sepak negara kita, B. Sathianathan.

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video