Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

'Perbalahan' dengan Lukaku hasilkan keputusan positif, kata Hazard

hazard-2.jpg
Eden Hazard mempertahankan keputusannya melabel Romelu Lukaku "bersembunyi" dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2018 ketika Belgium menentang Panama sambil menegaskan seruan itu membantu melonjakkan prestasi penyerang berkenaan. 

Red Devils mengakhiri aksi menentang wakil kerdil dari Amerika Tengah itu tanpa gol pada separuh masa sehingga mendorong ketua pasukan, Hazard, melontarkan cabaran kepada Lukaku dalam usaha menggalakkan penggempur Manchester United itu memainkan peranan lebih besar.

Lukaku menyumbat dua gol daripada tiga gol Belgium serta menambah dua lagi gol dalam kemenangan 5-2 ke atas Tunisia, manakala Hazard turut mencatat nama selaku penjaring.

Penampilan yang lebih baik daripada Lukaku menguatkan reputasi Hazard sebagai pemimpin berpengaruh dalam skuad kendalian Roberto Martinez itu biarpun tonggak Chelsea itu enggan dicop sebagai pakar motivati.

"Saya tidak mahu mengatakan bahawa saya berhak untuk bercakap dengannya kerana saya tidak selalunya betul," kata Hazard kepada FIFA.com.

"Namun, kita telah melihat Romelu yang berbeza pada babak kedua dengan dua golnya (menentang Panama).

"Saya tidak mahu bercakap banyak tetapi jika perlu, saya akan melakukannya.

"Ada beberapa pemain boleh didekati dengan cara berterus terang sementara ada pula yang perlu menggunakan kaedah yang berbeza."

Hazard sempat bergandingan dengan adiknya, Thorgan, pada tujuh minit terakhir perlawanan Kumpulan G sewaktu menang 1-0 dengan England bagi mengesahkan pertemuan dengan Jepun dalam pusingan 16.

Pemain tengah Borussia Mönchengladbach tersebut mengakui peranan abangnya selaku kapten bukanlah mudah. 

"Dia tidak pernah berucap semasa di bilik persalinan mahupun di atas padang," kata tonggak berusia 25 tahun itu. 

"Dia lebih gemar membuktikannya melalui persembahan biarpun peranannya itu memerlukannya lebih rapat dengan pasukan."



 

Advertisement

Must Watch Video