Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Perak hela nafas lega

shahrel-fkri.jpg
Perak mampu menghela nafas lega selepas kejayaan menundukkan Petaling Jaya (PJ) City FC 1-0 di Stadium Perak malam tadi, sekali gus meraih kemenangan pertama dalam kancah Liga Super 2019.

"Ini kemenangan penting buat kami di tempat sendiri.

"Kami bermain baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini tetapi tidak berjaya.

"Namun, akhirnya kami berjaya malam ini (tadi) walaupun tanpa beberapa tonggak, " kata ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

Perak yang beraksi tanpa Gilmar Jose Da Silva, Amirul Azhan Aznan dan Brendan Gan kerana kecederaan tampak longgar di bahagian tengah.

"Bermain tanpa penyerang utama (Gilmar) memang susah. Bagaimanapun, Sharel Fikri (Md Fauzi) berjaya memainkan peranannya walaupun sebenarnya dia tidak memiliki kecergasan permainan kerana lama tidak beraksi akibat kecederaan," ujarnya.

Jurulatih dari Australia itu, bagaimanapun, berkata PJ City tidak memberi laluan mudah kepada anak buahnya. 

"Mereka bertahan dan menyerang dengan baik. Perlawanan ini tidak mudah. PJ City merupakan pasukan yang bagus," tambahnya.

Perlawanan 'panas' itu menyaksikan pengadil, Muhammad Nazmi Nasarudin, banyak melayangkan kad kuning kepada pemain kedua-dua pasukan.

Tidak cukup dengan aksi di tengah padang,  pengadil itu turut menerima sambutan hangat daripada pegawai PJ City, terutama jurulatih, K Devan, yang tidak berpuas hati dengan pengadil, khususnya kerana memberikan sepakan penalti yang disudahkan oleh Wander Luiz pada minit ke-39.

Berikutan itu, pengendali PJ City itu tidak hadir ke sidang media selepas perlawanan seperti yang sepatutnya.

Advertisement

Must Watch Video