Skip to main content

Bola Sepak

Pepe keliru terpaksa tinggalkan Madrid

pepe-060617.jpg
Pemain pertahanan Portugal, Pepe, mengesahkan dia akan meninggalkan Real Madrid, namun menegaskan dia masih belum memuktamadkan perjanjian dengan Paris Saint-Germain (PSG). 

Kontrak Pepe, 34, akan tamat pada penghujung bulan ini di mana dia menuntut perjanjian selama dua tahun di Madrid.

Bagaimanapun, selepas hanya ditawarkan kontrak selama setahun, dia memutuskan untuk angkat kaki sejak menyertai kelab itu dari Porto pada 2007. 

"Sudah jelas, saya tidak akan menyambung khidmat di Real Madrid," katanya kepada Cope. 

"Satu peringkat sudah berakhir dan mulai dari saat ini, satu peringkat lagi akan bermula."

Pepe membantu Madrid meraih tiga gelaran LaLiga dan tiga trofi Liga Juara-Juara, namun kecederaan menyebabkan dia hanya membuat 18 penampilan dalam keseluruhan musim ini. 

Dia kerap dikaitkan ke gergasi Ligue 1, PSG, dan pasukan Serie A, Inter Milan, namun berkata dia mempunyai beberapa pilihan lain. 

"Terdapat banyak tawaran, termasuk dari England," kata Pepe. 

Madrid di bawah kendalian Zinedine Zidane mengharungi kempen yang menakjubkan, termasuk menjuarai LaLiga dan Liga Juara-Juara. 

Begitupun, Pepe masih keliru dengan pemergiannya dengan berkata: "Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Apa yang Zidane lakukan dengan Real Madrid adalah mengagumkan tetapi ada beberapa perkara yang saya tidak faham. 

"Saya tidak mengucapkan selamat tinggal kepada Zidane kerana dia dan Real Madrid tahu saya akan pergi sebelum saya membuat keputusan."

Advertisement

Must Watch Video