Skip to main content

Bola Sepak

Pemecatan satu-satunya jalan keluar buat Koeman

koeman-1.jpg
Gergasi yang dahulunya digeruni, kini sekadar sebuah kelab yang dilanda masalah tidak berpenghujung.

Barcelona yang dahulu tidak lagi serupa dengan Barcelona sekarang.

Mengakhiri musim lalu dengan sekadar menduduki tangga ketiga La Liga, Barca hanya mampu memungut 15 mata daripada 10 perlawanan musim ini.

Mereka juga sudah tewas sebanyak dua kali pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.

Semalam, kekalahan 1-0 kepada Rayo Vallecano meletakkan mereka di tangga kesembilan liga dan akhirnya menamatkan kerjaya pengurus, Ronald Koeman, dalam memimpin mereka.

Menurut laman sesawang BBC, pengumuman yang dilakukan oleh kelab cukup ringkas.
"Presiden kelab, Joan Laporta, telah memaklumkan Koeman tentang keputusan untuk memecatnya selepas kekalahan menentang Rayo Vallecano. 

"Koeman bakal mengucapkan selamat tinggal kepada skuad pada hari Khamis depan."
Pemecatan Koeman ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah sesuatu yang sudah lama diramalkan bakal berlaku.





Terdahulu, keretanya dikerumuni penyokong yang berang ketika beredar meninggalkan stadium selepas kekalahan 1-2 kepada Real Madrid dalam El Clasico, Ahad lalu.

Biarpun tanpa perlawanan demi perlawanan yang berkesudahan dengan kekecewaan, pengurus berbangsa Belanda itu bukanlah seseorang yang disenangi ramai pemain, sama ada pemain yang masih bersama Barca sekarang ataupun mereka yang sudah pun meninggalkan kelab.

Menurut laporan akhbar The Independent, antara perkara terawal yang dilakukan Koeman sewaktu dilantik oleh Barca adalah menelefon bekas penyerang, Luis Suarez, untuk memaklumkan yang khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh kelab.

Biarpun mencatatkan nama sebagai penjaring ketiga tertinggi dalam sejarah kelab Barcelona dengan 198 gol, panggilan telefon itu  hanya berlangsung selama 40 saat.

Menurut kata-kata Suarez sendiri, Koeman mengatakan dia sudah terlalu tua dan tidak lagi mampu untuk bermain di  tahap tertinggi.

Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa kenyataan itu agak kurang ajar dan tidak hairanlah Suarez memilih untuk berpindah ke Atletico Madrid dengan hati yang gembira.
Miralem Pjanic, pemain yang dibeli dari Juventus musim lalu pula mengkritik aspek komunikasi Koeman.

"Teramat sukar untuk saya berbicara dengannya. Saya tidak tahu apa yang Koeman mahukan.

"Dia tidak pernah memberikan sebarang penjelasan tentang mengapa dia tidak memilih saya dalam kesebelasan utama, mahupun dia memberitahu tentang apa yang dia mahukan daripada saya sebagai seorang pemain.

"Saya rasa dia adalah seseorang yang tidak gemarkan konflik dan lebih selesa memilih untuk mengelakkan sebarang masalah daripada menghadapinya secara bersemuka."

Menurut laporan laman sesawang goal.com pula, bekas kapten Barcelona merangkap antara pemain legenda mereka, Xavi, sudah pun ditawarkan jawatan pengurus baru.

Xavi sudah pun menerima tawaran serupa beberapa tahun lalu, namun dia menolaknya atas alasan belum bersedia dan masih lagi belajar selok-belok sebagai seorang ketua jurulatih.

Sejak bulan Mei 2019, Xavi telah membimbing kelab Saudi, Al-Sadd dan mencatatkan rekod memberangsangkan, iaitu 63 kemenangan dalam 95 perlawanan keseluruhan.

Al-Sadd kini tidak pernah tewas dalam 34 perlawanan berturut-turut.

Sejak perlantikan Zinedine Zidane sebagai pengurus Real Madrid bertahun-tahun dahulu, semakin banyak kelab nampaknya memilih untuk menjadikan bekas pemain legenda mereka untuk memimpin kelab.

Antaranya, Frank Lampard bersama Chelsea, Andrea Pirlo bersama Juventus, Filippo Inzaghi bersama AC Milan dan Ole Gunnar Solskjaer bersama Manchester United.

Antara sebab utama yang diberikan adalah bekas pemain tersebut memahami budaya dan selok-belok kelab secara mendalam dan berkemampuan untuk menurunkan ilmu mereka kepada pemain muda demi mencapai kejayaan.

Malangnya, kebanyakan masa teori itu tidak menjadi dan hanya berkesudahan dengan pemecatan.

Jika benar Xavi menerima tanggungjawab sebagai pengurus baru Barca, tugasan yang menantinya teramat getir.

Namun, jika dia berjaya mengubah nasib kelab, namanya yang sudah lama terpatri sebagai seorang legenda yang disegani bakal diangkat martabatnya ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Sama-sama kita nantikan. 




 

Advertisement

Must Watch Video