Skip to main content

Bola Sepak

Pemain warisan, integriti dokumentasi dan arah baharu bola sepak Malaysia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mas.jpg
Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan beberapa pemain warisan telah membuka ruang perbahasan luas dalam kalangan peminat, pengurus sukan dan pembuat dasar negara.

Menurut laporan Reuters pada 4 November, FIFA menolak rayuan FAM berhubung kelayakan beberapa pemain berketurunan luar negara, sekali gus mengekalkan hukuman penggantungan pemain serta denda ke atas FAM.

Kenyataan FAM yang dipetik oleh The Star pada hari sama turut mengesahkan bahawa badan induk tersebut menerima keputusan FIFA dan sedang meneliti langkah seterusnya setelah memperoleh alasan bertulis penuh daripada badan dunia itu.

Kes kelayakan pemain bukan sesuatu yang baharu dalam bola sepak antarabangsa. FIFA melalui peraturan rasmi Regulations on the Status and Transfer of Players menetapkan bahawa pemain hanya layak mewakili negara tertentu sekiranya mempunyai hubungan keturunan yang sah melalui ibu, bapa, datuk atau nenek, atau melalui tempoh residensi minima.

Oleh itu, isu bukan sekadar “siapa pemain tersebut”, tetapi bagaimana dokumen, bukti keturunan dan proses semakan dalaman dikendalikan oleh organisasi bola sepak negara.

Dalam konteks antarabangsa, Equatorial Guinea menjadi contoh yang sering dirujuk. Pada tahun 2017, FIFA menggantung pasukan wanita negara itu daripada Piala Dunia Wanita selepas siasatan mendapati terdapat pemalsuan dokumen kelahiran pemain.

Keputusan tersebut diumumkan melalui kenyataan rasmi FIFA. Kes itu menunjukkan bahawa isu dokumentasi kelayakan pemain bukan hanya menjejaskan individu, tetapi boleh memberi kesan langsung kepada reputasi dan kedudukan pasukan kebangsaan.

Satu lagi kes relevan ialah kes pemain Ecuador, Byron Castillo, yang dibawa sehingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada tahun 2022. BBC Sport dan The Guardian melaporkan bahawa CAS memutuskan Ecuador kekal layak ke Piala Dunia, namun Persekutuan Bola Sepak Ecuador dikenakan denda dan amaran kerana kegagalan memastikan dokumentasi kelahiran pemain itu disahkan dengan sewajarnya.

Keputusan ini menunjukkan bahawa CAS sering menilai isu kelayakan berdasarkan prinsip proportionality, iaitu hukuman disesuaikan dengan tahap kesalahan, bukan sekadar mengesahkan atau membatalkan tindakan secara total.

Dalam situasi Malaysia, persoalan kritikal yang sedang diperbincangkan ialah sama ada FAM wajar menerima keputusan FIFA atau membawa kes ini ke CAS. Jika FAM memilih untuk menerima keputusan sepenuhnya, langkah tersebut mungkin mempercepatkan proses penstabilan struktur dalaman.

Namun, ia juga boleh meninggalkan kesan terhadap persepsi awam bahawa kelemahan pentadbiran dan proses semakan memang berlaku. Walaupun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terlibat dalam penyediaan dokumen yang dikemukakan kepada FIFA, kesan reputasi terhadap “kebolehpercayaan dokumen identiti” Malaysia boleh timbul dalam ruang wacana antarabangsa.

Dalam sukan moden, persepsi adalah sebahagian daripada reputasi, dan reputasi mempengaruhi keyakinan pemain, penaja dan rakan strategik.

Sebaliknya, sekiranya FAM memilih untuk membawa kes ini ke CAS, tujuan strategik tidak semestinya untuk menolak kesalahan sepenuhnya, tetapi untuk menilai semula kadar hukuman. Berdasarkan pola keputusan CAS dalam kes Ecuador, hujahan yang lebih munasabah ialah memohon penilaian berkadaran terhadap hukuman, terutamanya penggantungan pemain yang boleh menjejaskan perancangan pasukan kebangsaan dalam tempoh terdekat.

Pendekatan ini juga membolehkan FAM menjelaskan langkah-langkah pembaikan sistemik yang sedang diambil, sekali gus memisahkan antara kesalahan prosedur dan integriti institusi keseluruhan.
Walau apa jua keputusan FAM, pembaharuan sistemik adalah keperluan mendesak. Pertama, suatu unit pematuhan kelayakan antarabangsa perlu ditubuhkan untuk menyelaras pengesahan silang dokumen bersama kedutaan, pihak berkuasa sivil dan penasihat undang-undang sukan.

Kedua, proses dokumentasi perlu mengikut prinsip chain of evidence, iaitu setiap dokumen keturunan mesti dapat dijejak sumbernya dari negara asal. Ketiga, program literasi undang-undang sukan harus diberikan kepada pengurus pasukan, ejen pemain dan pemain sendiri untuk memastikan proses kelayakan difahami di semua peringkat.

Kes ini bukan cerminan kegagalan sukan negara, tetapi satu titik penanda bahawa bola sepak Malaysia sedang sampai ke tahap di mana pentadbiran mesti setanding dengan cita-cita prestasi. Dengan sistem pemerintahan yang lebih kemas, komunikasi yang lebih jelas dan tindakan pembaikan yang terarah, bola sepak Malaysia mampu bergerak ke hadapan dengan kredibiliti yang lebih kukuh.

Krisis ini bukan noktah, tetapi peluang untuk membina semula dengan lebih tertib, lebih profesional, dan lebih berwibawa.

Dr Mohd Firdaus Abdullah
Timbalan Dekan Pembangunan
Fakulti Sukan dan Sains Eksesais
Universiti Malaya

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video