Skip to main content

Bola Sepak

Pemain tiada wang untuk ke latihan tapi mereka berkorban untuk capai sasaran -- Nidzam Adzha

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

nidzam.jpg
Skuad bola sepak Wilayah Persekutuan merangkul ibu pingat selepas menewaskan Melaka 2-1 dalam perlawanan akhir Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di Stadium Mukah, minggu lalu.

Di sebalik kejayaan itu, 11 pemain daripada Kuala Lumpur Extention (skuad muda KL City) perlu menempuh jerih berliku susulan berhadapan krisis pembayaran gaji sebelum terpilih ke kejohanan dwitahunan itu.

Menurut ketua jurulatih, yang juga Pengarah Teknikal KL City, Nidzam Adzha Yusof, kesulitan yang dialami merupakan pengorbanan besar pemainnya sehingga terpaksa mengikat perut berbekalkan RM50
seminggu.  

 
"Memang benar ada ketika sebulan sebelum berlepas ke Sarawak, pemain-pemain tidak mempunyai wang untuk datang ke sesi latihan tetapi mereka sanggup berkorban untuk mencapai sasaran.

"Mereka seakan meninggalkan masalah kewangan tersebut dan tetap menjalani latihan seperti biasa.

"Tiada duit untuk menghadiri latihan selain tiada wang untuk bersarapan dan makan malam sambil kami barisan kejurulatihan harus memberi motivasi tambahan dan menegaskan ini merupakan masa depan mereka supaya jangan berputus asa tatkala teruskan perjuangan kerana ganjaran akan tiba sebaik mencapai sasaran," luahnya. 

Pengarah Kuala Lumpur United Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar, turut menyediakan wang sagu hati bagi setiap peringkat kejayaan, sekali gus memberi makna yang cukup besar buat barisan pemain.

Peluang tersebut digunakan sebaiknya oleh beberapa pemain untuk membeli kelengkapan seperti but yang sudah koyak.

"Alhamdulillah selepas menjuarai edisi kali ini, kepuasan pemain jelas terpampang di riak wajah mereka dan kami juga terharu dengan pengorbanan mereka," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video