Skip to main content

Bola Sepak

Pemain Liga 3 Thai dibuang kelab kerana tumbuk pengadil, pemain lawan

thai-league-3.jpg
Songkran Puangnoi telah dilepaskan oleh kelabnya, Hua Hin City, selepas mengasari pengadil ketika perlawanan Liga 3 Thai.

Insiden itu berlaku di Stadium Khao Takiap ketika Rajpracha mendahului 3-0 ke atas Hua Hin pada separuh masa pertama dalam perlawanan yang berlangsung 3 Mac. Selepas pemain Rajpracha jatuh ketika melakukan 'clearance', pengadil menghenti perlawanan bagi memberikan rawatan kepada pemain. Dipercayai pemain tersebut cuba melengah-lengahkan permainan menuju masa kecederaan, Puangnoi mendekati dan menendang pemain tersebut.

Pengadil kemudian melayangkan kad merah, namun Puangnoi bertindak berang dengan menumbuk pengadil itu sebelum menyerang seorang lagi pemain Rajpracha, Srithai Bookok. Perlawanan itu tertangguh selama lapan minit ekoran kekecohan tersebut.

LIhat video di bawah;



Apabila permainan bersambung, pengadil turut memberikan layangan kad merah kepada pemain Rajpracha, Chutiphan Nopnob. Manakala, Bookok turut mengalami kecederaan serius pada mata kanan, tidak dapat meneruskan permainan. Rajpracha kemudian memenangi perlawanan dengan keputusan 5-2.

Menurut Siamsport, Bookok mungkin memerlukan pembedahan mata kerana pembekuan darah dan Rajpracha telah menggesanya untuk memfailkan aduan serangan terhadap Puangnoi dengan polis tempatan.

Hua Hin mengeluarkan permohonan maaf rasmi kepada Rajpracha, pengadil dan pemain yang diserang. Kelab itu mengumumkan telah menamatkan kontrak Puangnoi dan dianggap sebagai hukuman yang paling keras atas tindakannya.

Kes ini mendapat perhatian yang lebih besar kerana Puangnoi juga seorang pegawai polis. Dalam catatan media sosial, dia memohon maaf kerana hilang sabar dan bertanggungjawab atas tindakannya.

Di bawah peraturan bola sepak Thailand, tingkah laku ganas yang merosakkan imej sukan itu biasanya mengakibatkan larangan 2-4 perlawanan dan denda 40,000 hingga 60,000 baht (RM5,200 hingga RM7,800). 

Bagaimanapun, Thairath melaporkan bahawa Songkran berkemungkinan akan menghadapi hukuman yang lebih berat kerana keterukan serangan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Nualphan Lamsam telah melahirkan rasa kecewa, terutamanya memandangkan peranan Puangnoi sebagai pegawai polis, dan sedang mengkaji segera tindakan tatatertib untuk kes ini.

 

Advertisement

Must Watch Video