Skip to main content

Bola Sepak

Pelesenan kelab: Lima pasukan Liga Super ketinggalan

kevin-ramalingam-140617.jpg
Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, mengesahkan lima pasukan Liga Super tidak berada di landasan tepat untuk mendapat pelesenan kelab menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2018. 

Syarat pelesenan kelab diperkenalkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke atas semua kelab di negara yang menjadi ahli gabungannya pada 2014. 

Di Malaysia, ia mula dibincangkan pada 2015 dan FMLLP selaku badan pentadbir Liga M meletakkan sasaran 2018 sebagai musim di mana kesemua pasukan wajib lulus syarat pelesenan kelab. 

Begitupun, Kevin hari ini mengesahkan terdapat beberapa pasukan yang masih belum memenuhi kriteria yang ditetapkan, dengan tujuh pasukan sahaja berada di landasan tepat untuk memenuhi keperluan berkenaan. 

"Dalam menggalakkan mereka membuat penyerahan kriteria secara berperingkat, kami mendapati tujuh daripada pasukan Liga Super berada di landasan tarikh yang ditetapkan. 

"Tetapi, untuk mengatakan lima kelab yang tertinggal sedikit itu tidak dapat memenuhi kriteria pun tidak boleh juga. 

"Ini kerana kami masih memberi masa lagi kepada mereka," katanya ketika ditemui selepas kongres pertama FMLLP di Iskandar Puteri, Johor hari ini. 

Kongres julung kali yang diadakan itu turut melantik tiga muka baru sebagai ahli lembaga pengarah FMLLP, iaitu Marzuki Sulong dari pasukan Terengganu, Ismail Dolhan (Sarawak) dan Mustaza Ahmad (UiTM FC). 


 

Advertisement

Must Watch Video