Pancit, gugup dan sentuhan penyudah tumpul menjadi alasan Sarawak tumpas dalam perlawanan sulung menentang Felda United FC dalam aksi pembuka tirai Piala Presiden, petang semalam.
Hakikat ini diakui pengendali Sarawak, S Veloo, apabila sepanjang 90 minit semalam, pemain-pemainnya hanya mampu mencipta peluang biarpun bermain di gelanggang sendiri, Stadium Negeri.
"Separuh masa pertama, mereka mendominasi permainan dengan cukup menarik sambil membuat gerakan-gerakan berbahaya, terutama melalui rangkaian Nor Azizi Ramlee dan Azman Chuchu.
"Serangan kami berjaya menghadirkan tujuh peluang, namun sentuhan penyudah yang tumpul menjadi penghalang," katanya lagi.
Pemain-pemain, tambahnya, berjaya memanfaatkan kelemahan di kedua-dua bahagian sayap lawan, namun mereka gagal menterjemahkan peluang itu kepada gol.
"Akhirnya pertahanan kami sendiri yang membuat kesilapan hingga membolehkan lawan yang tidak dikekang, meloloskan diri membuat rembatan ke dalam gawang tanpa dicabar."
Gol tunggal perlawanan yang menoktahkan kemenangan Felda United FC itu hadir pada minit ke-71 hasil rembatan Muhd Danial Amer Norhisham.
Gol anak-anak buah Ahmad Shahrul Azhar ini dicipta ketika pemain-pemain Ngap Sayot jelas kepenatan.
"Ya, mereka pancit selepas 70 minit. Kami sedar akan perkara ini, namun kami yakin ia akan dapat diatasi sedikit masa lagi.
"Pada minggu lalu, kami telah menerima jurulatih kecergasan, Mat Zali Lazim dari Kedah, dan diharapkan beliau akan dapat membantu meningkatkan aspek ini," jelasnya.
Veloo turut mengakui lawan yang dihadapi anak-anak buahnya ini juga bukan sembarangan.
"Mereka ini merupakan bekas penuntut Sekolah Sukan Bukit Jalil yang terdedah kepada perlawanan berprestasi tinggi.
"Justeru, apabila kami bermain dengan pasukan seperti ini, tentunya kami berhadapan dengan mereka yang memiliki kemahiran, kelajuan dan pelbagai kelebihan lain," jelasnya.
Katanya, beliau juga sedar anak-anak buahnya sedikit gugup dalam perlawanan ini.