Skip to main content

Bola Sepak

Pahang, Perak sama buntu

bola-sepak_5.jpg
PAHANG 0 PERAK 0 

Pahang dan Perak memulakan kempen musim ini dengan memungut satu mata selepas aksi di Stadium Darulmakmur malam ini berakhir tanpa jaringan. 


Aksi Liga Super itu menyaksikan kedua-dua pasukan mengambil langkah berhati-hati dengan bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang. 

Selepas permainan melewati pertengahan separuh masa pertama, barulah beberapa percubaan berbahaya diperlihatkan. 

Pemain import kelahiran Brazil, Gilmar Jose da Silva Filho, memiliki kesempatan untuk memecah kebuntuan, namun tandukannya tersasar. 

Berselang beberapa minit, giliran rakan senegaranya, Wander Luiz, pula melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti yang melencong keluar. 

Tersentak dengan itu, Tok Gajah mula memberi tekanan menerusi Kogileswaran Raj, namun lambungannya mudah dibaca penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Kemudian, penjaga gol tuan rumah, Helmi Heliza, tangkas menafikan percubaan Gilmar. 

Pahang memulakan babak kedua dengan bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, terlepas peluang keemasan apabila gagal menanduk kemas hantaran silang Matthew Davies. 

Permainan kembali seimbang, namun kedua-dua pasukan gagal menjelmakan percubaan yang boleh mengancam pintu gol lawan. 

Beberapa pertukaran yang dilakukan kedua-dua pasukan turut gagal mengubah kedudukan perlawanan. 

Sementara itu, dua jaringan sumbangan pemain dari Sepanyol, Rufino Segovia, memastikan Selangor bergaya dalam aksi 'derby'' dengan Kuala Lumpur di Cheras dengan kemenangan 2-0 memihak skuad Merah Kuning itu. 


 

Advertisement

Must Watch Video