Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Osorio ikrar Mexico gempur skuad terbaik di dunia, Brazil

osorio.jpg
Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio, menyifatkan Brazil sebagai pasukan terbaik di dunia tetapi menegaskan pasukannya tidak akan mengambil langkah ke belakang dalam pertemuan di Samara, malam ini. 

Kedua-dua negara akan bertembung dalam pusingan 16 Piala Dunia 2018, peringkat yang sering menghantui El Tri sejak enam temasya lalu sehingga dilabel sebagai "sumpahan perlawanan kelima".

Dengan juara lima kali, Brazil, diangkat selaku pilihan ramai untuk meraih mahkota keenam di Russia, Osorio sangat gembira dan memuji barisan kendalian Tite itu dalam sidang media pra-perlawanan semalam. 

Bagaimanapun, dia menjanjikan pasukannya akan mengamalkan pendekatan menyerang yang menyaksikan mereka menghuni tangga kedua Kumpulan F hasil kemenangan ke atas Jerman dan Korea Selatan.

"Brazil adalah pasukan handalan, mereka adalah pasukan terbaik di dunia," kata Osorio. "Ini kerana setiap pemain mereka boleh mengawal, menghantar dan bergerak sebagai satu unit seperti Sepanyol dan Jerman.

"Tite sangat berpengalaman dan merupakan jurulatih yang hebat. Dia tahu bagaimana untuk menggabungkan pemainnya dan saya fikir ini peluang besar buat Mexico untuk berdepan sebuah pasukan terbaik di planet ini dalam pusingan 16. 

"Gaya bola sepak kami ialah kekerapan menimbulkan masalah kepada benteng lawan. Kami tidak pernah berputus asa dan sentiasa menyerang.

"Kami sentiasa menurunkan tidak kurang lima pemain bercirikan serangan atau empat penyerang dan dua pemain tengah menyerang seperti Hector (Herrera) dan kami tahu apa kemampuan yang kami miliki di bahagian tengah.

"Saya berharap kami dapat membuat banyak hantaran, menguasai bola. Kami perlu memastikan mempunyai pemain yang mencukupi untuk memastikan kami juga bertahan dengan baik.

"Dan kita sentiasa tahu bahagian sayap Brazil boleh menyerang dan kami akan cuba mengambil langkah pencegahan selain mengambil kesempatan daripada permainan mereka.

"Mudah-mudahan kami akan menampilkan permainan yang hebat nanti dan saya berharap pemain saya mampu mengawal emosi dan bersaing setaraf dengan salah sebuah pasukan terbaik, jika bukan yang terbaik di dunia sekalipun," tambahnya.

Duduk bersebelahan Osorio, pemain tengah Porto, Herrera, berkata skuad Mexico memiliki keyakinan untuk melepasi sumpahan pusingan kedua.

"Saya fikir kami boleh menang kerana kami mempunyai keyakinan dan kemampuan sendiri, kualiti kami tinggi," katanya.

"Kami adalah kumpulan yang sangat baik, kami sangat bersatu padu, teruja dan gembira. Kesemua ciri-ciri ini mendorong kami untuk mempercayai keupayaan sendiri untuk mencapai perkara yang hebat bersama-sama.

"Kami mahu berkembang sebagai sebuah negara, pemain, individu dan saya fikir semua perkara ini menjadi pendorong kepada kami."

Advertisement

Must Watch Video