Berderit-derut nafas kencangku, tercungap-cungap melangsai misi 2.4kilometer -- syarat wajib kemasukan ke Fakulti Sains Sukan bagi kemasukan 2001.

Di depan mata terbentang luas indahnya Stadium Shah Alam yang belum pernah aku jejaki sejak bernafas di bumi Allah, nikmati pemandangan seluas mata memandang, gadis desa kelahiran Terengganu ini seketika terlupa, misi sebenar dia berada di sarang Red Giant itu.

‘Gile la, beso bapokkk stadiung ning’

Itu reaksi pertama seorang Fina Nasrom yang berusia 18 tahun ketika itu.

Mata meliar melihat keindahan Stadium Shah Alam, sedikit sebanyak aku tidak terlalu fokus dengan kepenatan larian 2.4kilometer ku yang tak seberapa itu.

Garisan penamat berjaya dihabiskan, namun ia bukan catatan gempak untuk di hebahkan di sini tetapi cukup untuk penuhi syarat wajib jadi sebahagian dari warga ‘Sportrec’ yang mendekatkan lagi erti sebenar sukan - bukan sahaja melibatkan aksi dalam lapangan semata mata.

Itu pengalaman pertama aku dengan Stadium Shah Alam, stadium yang berjaya buat aku terngaga saat berlari di trek bagi penuhi sasaran 2.4kilometer, syarat wajib sebelum bergelar ‘budak sportrec’.

Mana mungkin hanya aku sahaja yang ada kenangan manis bersama stadium ikonik ini, mustahil …





Stadium Shah Alam, stadium pilihan kedua skuad bola sepak negara, di label sebagai stadium paling mudah bocor dengan lambakan penyokong setiap kali aksi bola sepak antarabangsa berlangsung. Ada laluan tikus gamaknya.

Bukan itu sahaja, Fakulti Sains Sukan dan Fakulti Muzik di bawah kendalian UITM juga pernah menempatkan pelajar dan bilik pembelajaran di Stadium Shah Alam satu ketika dahulu.

21 Mac 2013 - Masih terngiang ngiang di telinga ku, berang bekas Ketua Jurulatih Yaman, Tom Saintfiet, yang gagal mengesan 4 pemain nya yang di katakan hilang dari pasukan. Di fahamkan berkunjung ke Bukit Bintang sehari sebelum aksi kelayakan Piala Asia AFC Australia 2015 dengan skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal.

‘This moment you are talking to a very angry coach, very disappointed coach because my player are missing in few hours before the match !!’ - di bangku pemain Stadium Shah Alam itu lah Saintfiet mengamuk.

Bergema Stadium Shah Alam dengan suara besar jurulatih kelahiran Belgium itu. Aku terkulat kulat di depan Saintfiet. Teragak agak aku nak meneruskan sesi temubual. Bukan apa, kelakar ada kesian pun ada, takut pun iya juga.

Hakikatnya, Stadium Alam satu ketika dahulu tidak pernah sesunyi sekarang.

Keakraban Stadium Shah Alam dengan setiap pengunjungnya tidak mampu di sangkal. Tidak hairan stadium ini berjaya tinggalkan kesan nostalgia di hati setiap individu yang pernah mencipta kenangan di stadium ini

Malah, kisah-kisah mistik di perkarangan stadium, di terowong bawah tanah ada cerita tersendiri. Bukan manusia je akrab , hantu pun tumpang sekaki.

Berbalik kepada realiti, mungkin di masa akan datang nostalgia ini sekadar segar di ingatan. Atau sekadar mengimbau di sebalik sekeping gambar, yang boleh di jadikan bukti bahawa pernah ada stadium yang cukup gah di kawasan seksyen 13, Shah Alam satu ketika dulu.

Hanya tingal kurang dua purnama, janji kerajaan negeri Selangor umum ketahui Stadium Shah Alam bakal di robohkan untuk di gantikan dengan kompleks sukan yang baru.

Menghitung hari …