Skip to main content

Bola Sepak

Nilai perpindahan Pogba satu beban -- Mourinho

paul-pogba-cropped_17bkdcy2uwxny1x293mlhcsj0h.jpg
Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, mengakui yuran perpindahan Paul Pogba telah menjadi satu beban terhadap pemain itu musim ini.

Pobga kembali ke Old Trafford daripada Juventus, Ogos tahun lalu, dengan rekod pembelian GBP89 juta (RM497 juta), sekaligus muncul pemain termahal dunia mengetepikan pembelian Real Madrid ke atas Gareth Bale pada tahun 2013 dengan bayaran GBP86 juta (RM482 juta). 

Pemain antarabangsa Perancis itu bergelut untuk menyaingi nilai perpindahan itu musim ini, dengan pemain berusia 24 tahun itu sering dikecam ekoran terlalu mencuba di atas padang musim ini.

Bagaimanapun, Mourinho menegaskan bahawa Pogba telah mempamerkan persembahan yang baik, terutama dalam membantu United mara ke final Liga Europa.

Namun, dia tidak berselindung di sebalik hasrat mahu melihat ada pemain lain yang akan merampas status pemain termahal dunia agar beban berat tidak akan lagi dipikul pemain itu.

Dia memberitahu Omnisport:"Masalah utama adalah nilai perpindahannya. Saya berharap musim depan dia tidak lagi menjadi pemain termahal dunia supaya tekanan itu akan jatuh pada bahu pemain lain.

"Jika yuran perpindahannya adalah separuh daripada itu, mungkin semua orang akan berkata ia satu pelaburan yang baik. Tetapi tanda harga itu membuatkan semua orang menjangkakan persembahan yang memukau setiap kali beraksi.

"Dia mempamerkan persembahan yang baik setiap kali. Dia sentiasa berkorban untuk pasukan. Contohnya ketika dia beraksi di Rostov, persembahannya sangat menakjubkan.

"Jarang sekali dia tampil hambar. Jadi, ketika pasukan beraksi baik, dia juga akan menghadirkan impak. Ketika seluruh pasukan beraksi hambar, ia juga akan memberi kesan terhadap aksinya.

"Jadi bagi saya, ia tidak adil. Saya berharap musim depan ada kelab yang akan memecah rekod pembelian itu."

Mourinho juga yakin Pogba mampu menjadi pemain terbaik dunia seandainya dia terus mempamerkan kemajuan di United.

"Saya tidak pernah gemar melabelkan pemain sebagai 'terbaik dunia' -- kamu tidak akan melabelkan penjaga gol sebagai terbaik dunia.

"Hanya Fabio Cannavaro seorang pemain pertahanan yang mendapat jolokan itu. Status pemain terbaik dunia selalunya diberikan kepada penjaring gol, jadi itu agak tidak adil," katanya.

"Pogba mampu menjadi pemain tengah terbaik dunia. Saya tidak melihat pemain lain yang memiliki kualiti sepertinya.

"Tetapi dia harus mempamerkan peningkatan, sudah tentu dia perlu melakukannya. Dia memiliki fizikal, kepintaran dan skil walaupun bertubuh besar.

"Dia juga pakar dalam mengambil sepakan percuma. Jadi, jika Zlatan Ibrahimovic membenarkan dia untuk mengambil sepakan percuma, mungkin dia juga akan meledak gol yang lebih banyak. Dia memiliki segala-galanya."

Tatkala aksi Pogba seakan-akan tenggelam timbul, Ibrahimovic muncul pemain terbaik The Red Devils musim ini apabila telah pun menyumbat 28 gol dalam musim pertamanya sebelum dihimpit kecederaan lutut bulan lalu.

 

Advertisement

Must Watch Video